Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MCMC: Sin Chew, Sinar Harian Dikompaun RM100,000

19/09/2025 10:05 AM

PUTRAJAYA, Sept 19 (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenakan kompaun sebanyak RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Media Corporation Bhd dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd selepas mendapat izin mengkompaun daripada Jabatan Peguam Negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan terhadap Sin Chew Media diambil selepas siasatan mendapati organisasi itu memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.

Kompaun terhadap Sinar Karangkraf pula dikenakan berikutan siaran di akaun Instagram rasmi organisasi itu yang memuat naik profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara, melibatkan dakwaan terhadap jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.

Ad Banner

“Kedua-dua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2) manakala tindakan kompaun dibuat menurut Seksyen 243 akta sama,” menurut kenyataan itu.

MCMC menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa.

“Penyebaran kandungan palsu yang melibatkan institusi keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa.

Ad Banner

“Sehubungan itu, semua organisasi media dan pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa memastikan ketepatan serta kesahihan kandungan yang diterbitkan, khususnya apabila membabitkan lambang dan simbol rasmi negara,” katanya.

MCMC turut menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan serta melaksanakan pelbagai inisiatif literasi digital bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terpelihara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan