BERITA PRU15   PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’ | 
AM

Kursus Asas Haji 1444H di 201 masjid seluruh negara bermula hari ini

25/11/2022 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Kursus Asas Haji (KAH) 1444H/2023M bagi bakal haji di 201 masjid seluruh negara bermula hari ini hingga 17 Feb 2023.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan 13 siri KAH itu akan dijalankan di seluruh negara secara berperingkat di masjid terpilih dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri dan jawatankuasa masjid.

“Keutamaan untuk menyertai KAH akan diberikan kepada bakal jemaah haji yang tersenarai menunaikan ibadat tersebut pada 2023 dan mereka yang tidak dapat mengikutinya sebelum ini disebabkan penangguhan ibadat haji selama dua tahun akibat COVID-19.

“Bagaimanapun, KAH turut terbuka kepada umat Islam Malaysia yang berminat untuk mendalami dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji dan umrah,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu KAH akan diadakan pada setiap hujung minggu bermula bulan Rabiulakhir dan merupakan kursus haji peringkat pertama yang perlu diikuti oleh bakal jemaah haji.

KAH juga bertujuan untuk melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan ketika melaksanakan ibadat berkenaan, selain modul yang disediakan memberi penekanan kepada pelaksanaan ibadat, falsafah haji, sejarah, rukun haji dan umrah, perkara wajib haji dan umrah serta perkara berkaitan isu-isu wanita.

“TH percaya melalui KAH, bakal haji bukan sahaja dapat mempelajari ilmu berkaitan ibadat haji, malah tentang kemahiran kendiri, penjagaan kesihatan dan kebersihan, selain menghayati konsep ‘istito’ah’ yang menjadi kewajipan dalam pelaksanaan haji,” menurut TH.

Menurut kenyataan itu lagi, bakal haji yang berminat hanya perlu mendaftar di masjid-masjid terlibat dan jadual kursus boleh disemak di laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan