AM > BERITA

KERAJAAN LIHAT KEPERLUAN RANGKA DASAR, PINDA PERUNDANGAN MESRA PELABUR DAN AI - PM ANWAR

19/04/2024 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kerajaan sedang melihat keperluan bagi merangka dasar dan meminda sebarang perundangan yang berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) agar Malaysia sentiasa mesra pelabur dan dapat menyokong perkembangan infrastruktur teknologi tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau berkata aspek keselamatan data perlu diberikan keutamaan.

“Malaysia perlu segera mengadaptasi landskap ekonomi semasa untuk terus berkembang supaya sentiasa kompetitif dalam rantau ini dengan menarik pelaburan daripada syarikat dalam sektor teknologi, AI dan blockchain,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau ,hari ini. 

Anwar berkata Malaysia telah mempunyai Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 dan Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025 sebagai satu hala tuju yang berpotensi mempercepatkan adaptasi AI dalam sektor awam dan swasta.

“Kerajaan MADANI komited untuk memacu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam sektor-sektor berimpak tinggi dan inovasi serta menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif,” kata beliau.

Beliau berkata sedemikian susulan perbincangan yang diadakan pagi ini menerusi persidangan video dengan pengasas bersama syarikat Tools for Humanity (TFH) Sam Altman dan Alex Blania, serta Ole Ruch dari Nordstar yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Anwar berkata, perbincangan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menyentuh beberapa perkara berkaitan dengan kemajuan teknologi yang berkembang pantas.

“TFH turut memaklumkan perkembangan projek Worldcoin, inisiatif terkini berkaitan identiti dan rangkaian kewangan global serta inklusif dengan mengutamakan ciri-ciri kerahsiaan dan memberi perlindungan kepada informasi persendirian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan