AM > BERITA

127,295 ORANG BEKERJA SENDIRI MENDAFTAR SKSPS

21/04/2024 04:35 PM

BUKIT MERTAJAM, 21 April (Bernama) -- Golongan bekerja sendiri digesa untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), kerana ketika ini hanya 27.56 peratus atau 127,295 orang daripada sasaran sebanyak 500,000 pencarum di seluruh negara tahun ini, yang mendaftar untuk mencarum skim tersebut.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dan mereka yang telah mendaftar mendapat pelbagai manfaat.

“Saya menyeru rakyat Malaysia yang bekerja sendiri tak kiralah penjaja, usahawan dan sebagainya untuk mencarum skim ini, kerana tahun ini kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta iaitu geran padanan bagi skim tersebut.

“Menerusi peruntukan itu, kerajaan bagi subsidi sebanyak 90 peratus dan mereka yang mendaftar hanya perlu membayar RM23 sahaja untuk setahun, tahun ini kami sasarkan 500,000 pencarum SKSPS dan pelbagai usaha dijalankan (Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), memberikan pendedahan kepada orang ramai berhubung skim tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam ditemui selepas Majlis Tajaan dan Taklimat Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) kepada Persatuan Bomba Sukarela Parlimen Bukit Mertajam di Pejabat Perkeso Pulau Pinang.

Pada majlis itu seramai 218 anggota dari 10 Persatuan Bomba Sukarela menerima tajaan SKSPS.

Sim berkata tajaan caruman itu merupakan salah satu bentuk penghargaan beliau kepada anggota bomba sukarela yang berkhidmat secara percuma kepada masyarakat, setempat sekali gus turut memikul amanah menjaga keselamatan penduduk secara sukarela.

“Penajaan caruman SKSPS itu dibuat demi menjamin keselamatan anggota bomba sukarela itu dan orang tanggungan, iaitu ahli keluarga sekiranya mereka ditimpa bencana atau kemalangan maut sewaktu menjalankan tugas sebagai anggota bomba sukarela,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Sim berkata beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis, susulan laporan polis dibuat Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) terhadap dirinya  berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Beliau berkata setakat ini, pihak polis belum mengambil keterangannya dan beliau bersedia jika dipanggil polis.

Sim berkata dakwaan tersebut tidak berasas, namun katanya mereka mempunyai hak untuk membuat laporan polis.

“Saya serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan dan saya tidak ingin berikan komen lanjut kerana isu tersebut sudah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, jadi biar mahkamah yang tentukan dari segi keadilan,” katanya.

Media melaporkan lima cawangan NUBE, membuat laporan polis terhadap Sim atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan mendakwa beliau secara rahsia berbincang dengan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) tanpa pengetahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE berkenaan, dengan pembayaran Bantuan Perayaan untuk tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan