AM > BERITA

KUSKOP SEDIA PERUNTUKAN RM100 JUTA BIAYA PENUBUHAN KOPERASI SERTAI SEKTOR AGROMAKANAN

21/04/2024 05:04 PM

PAPAR, 21 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan peruntukan RM100 juta bagi membiayai penubuhan koperasi yang terlibat dalam sektor agromakanan.  

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata pembiayaan menerusi Tabung Modal Pusingan yang dilaksanakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu merupakan inisiatif kerajaan melalui kementerian berkenaan untuk membantu menangani kekurangan bekalan.

“Justeru, saya menggalakkan masyarakat dapat memulakan penubuhan koperasi setempat untuk terlibat dalam aktiviti pertanian, penternakan, perladangan dan aktiviti lain di bawah sektor agromakanan. 

“Penubuhan koperasi yang terlibat dalam sektor agromakanan boleh membantu rantaian bekalan dan keterjaminan makanan negara,” katanya menerusi kenyataan selepas melawat tapak ternakan ayam yang dibangunkan oleh Koperasi Kinabalu Lestari Berhad (KOKINA) di Kinarut dekat sini hari ini.

Beliau berkata syarikat itu telah memulakan pembinaan kandang ternakan ayam pedaging dengan kos RM450,000 menggunakan syer anggotanya dan dijangka memulakan kitaran pertama ternakan pada Julai ini.

“Sebab itu saya ingin menawarkan bantuan pembiayaan sebanyak RM100,000 di bawah Skim Start-up Financing (SuFi-1) kepada KOKINA sebagai tanda sokongan kepada perusahaan koperasi itu,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata SKM telah mendaftarkan 1,001 koperasi baharu pada 2023, yang merupakan satu sejarah pendaftaran terbanyak dalam satu tahun.

Beliau berkata KUSKOP dan agensi di bawahnya termasuk SKM bersedia membantu koperasi-koperasi, terutama yang sudah mula berniaga untuk mengembangkan perniagaan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan