AM > BERITA

LIPUTAN RANGKAIAN 5G DI PERLIS CAPAI KADAR 91.4 PERATUS - RAJA PERLIS

23/04/2024 12:33 PM

KANGAR, 23 April (Bernama) -- Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Perlis telah mencapai kadar 91.4 peratus setakat 31 Dis tahun lepas, demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sehubungan itu, baginda mengharapkan kerajaan negeri untuk mengambil langkah meneroka peluang pelaburan baharu dalam bidang berteknologi tinggi yang boleh memberikan impak besar terhadap ekonomi negeri, mengambil kira pembangunan infrastruktur jalur lebar yang pesat di negeri itu.

“Kerajaan negeri juga mestilah komited untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian untuk kemudahan rakyat negeri Perlis,” titah baginda.

Titah ucapan baginda itu dibaca Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis di sini hari ini.

Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda mengambil maklum bahawa kerajaan negeri sedang menyediakan Rangka Tindakan (Blueprint) dan Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Perlis yang bakal menjadi panduan utama dan hala tuju di peringkat negeri ke arah merealisasikan Bandar Pintar Negeri Perlis.

“Beta percaya apabila hasrat Bandar Pintar Negeri Perlis dapat direalisasikan, ia akan meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyediakan kaedah bagi mengatasi cabaran perbandaran melalui penyelesaian negara pintar (smart nation) dan penggunaan teknologi,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah baginda mengharapkan kerajaan negeri dapat mengambil langkah secara kreatif bagi membantu golongan berstatus miskin dan miskin tegar di Perlis keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Sehingga 18 Mac 2024, pangkalan data eKasih bagi negeri Perlis merekodkan seramai 13,463 ahli isi rumah berstatus miskin dan 2,196 isi rumah berstatus miskin tegar...Program Perumahan Rakyat bagi yang berpendapatan rendah merupakan salah satu program yang dapat membantu mengatasi atau mengurangkan risiko kemiskinan,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin berpandangan perlu ada campur tangan kerajaan secara serius untuk membina lebih banyak rumah perumahan rakyat atau perumahan awam.

Dalam pada itu, baginda bertitah perkhidmatan bekalan air terawat di Perlis masih belum mencapai tahap optimum dan kualiti yang memuaskan serta isu air tidak berhasil (NRW) juga masih tinggi iaitu pada kadar 62.5 peratus.

“Dalam hubungan ini, beta mengambil maklum bahawa kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberi geran kepada semua negeri yang mempunyai kadar NRW melebihi 50 peratus.

"Diharapkan agar kerjasama ini dapat membantu kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada rakyat,” titah baginda.

Raja Perlis juga menasihati semua pengguna bekalan air di negeri itu untuk bersikap amanah dengan membayar tunggakan bil yang kini mencecah RM34.84 juta selain pengurusan bekalan air dapat dipertingkatkan dengan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan