AM > BERITA

PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN AKAN DIKEMASKINIKAN SELARI TRANSFORMASI DIGITAL - WILSON

24/04/2024 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Pelan strategik pendigitalan akan dikemaskinikan selari dengan transformasi digital, kata Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata ketika ini, Kementerian Digital bersama tujuh agensi berkaitan sedang berbincang lebih lanjut bagi menghasilkan pelan berteraskan komuniti, yang akan memberi peluang masyarakat luar bandar celik teknologi dan digital.

“Kerangka baharu ini nanti turut meliputi komuniti luar bandar supaya mereka lebih mesra digital.

“Kita juga akan memastikan pelan itu selari dengan (pendigitalan) negara jiran seperti Singapura dan Thailand,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pejabat Activpayrolls di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pelan itu termasuk keseimbangan dan kesamarataan kepada industri pendigitalan di bandar dan luar bandar selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu transformasi digital dilaksanakan segera supaya negara tidak ketinggalan dan dapat bersaing pantas.

Pelan tersebut juga dirangka supaya Malaysia mempunyai input terbaik dan dapat bersaing dengan negara di Asia Tenggara, katanya.

Wilson berkata hala tuju Kementerian Digital mempunyai tiga teras iaitu Malaysia Digital, Ekonomi Digital dan Digital Komuniti bagi mempertingkatkan aspek pendigitalan di semua peringkat.

Mengenai 5G, beliau berharap rangkaian 5G dapat dipertingkatkan di kawasan pedalaman dan juga di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan rakyat serta industri menerima manfaat.

“Saya sebagai Timbalan Menteri mohon kesemarataan 5G supaya memberi keseimbangan kepada industri terutama di kawasan Bintulu, Kuching dan Nusantara, Indonesia yang berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Activpayrolls melabur RM167 juta untuk membuka pejabat baharu di Malaysia, yang akan memperkukuh kedudukannya di Asia Pasifik.

Pengarah Eksekutif Activpayroll bagi Asia Pasifik Andrew Philp berkata pengembangan syarikat di Malaysia adalah tepat pada masanya.

“Kami mendapati pelaburan berterusan dalam pasukan operasi, yang berpangkalan di Malaysia, berperanan penting dalam mengembangkan perkhidmatan Activpayroll di rantau ini.

“Berasaskan ketersediaan sumber tenaga mahir di Malaysia, kami yakin mampu menawarkan sokongan yang diperlukan pelanggan kami untuk cemerlang di Asia Pasifik,” katanya.

Pejabat baharu Activpayroll akan berfungsi sebagai Pusat Perkhidmatan Sokongan Global (GSS) utama bagi operasi global dan Asia Pasifik.

Pejabat itu disasarkan menjadi pejabat Activpayroll terbesar dari segi jumlah pekerja, dengan peningkatan perolehan kasar barisan dijangka kukuh melebihi 40 peratus.

Tambahan pula, Activpayroll merancang untuk menambah tenaga kerjanya sebagai empat kali pada 2028, disokong oleh purata peningkatan perbelanjaan operasi dan modal sebanyak 37 peratus.

Pejabat itu telah menggandakan bilangan pekerjanya dalam tempoh kurang dari setahun.

“Sebagai respond kepada keperluan industri untuk bakat serba boleh dan berkemahiran, Activpayroll melabur dalam jumlah yang besar bagi program latihan dan pembangunan untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan, sekali gus menyokong matlamat Malaysia ke arah menjadi hab kumpulan bakat mahir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan