AM > BERITA

PAMERAN SOLO DIARI VISUAL ONO KANG DIBUKA HINGGA 25 MEI

24/04/2024 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Peminat seni kini berpeluang meneroka diari visual Ono Kang, artis seni pemasangan dan pengukir dari Pulau Pinang, dalam pameran solonya bertajuk Forged by Time: Ono Kang's Visual Diary yang dibuka bermula hari ini.

Pameran itu menumpukan kepada pemasangan seni yang menawan oleh Ono diperbuat daripada besi buruk, barangan kitar semula dan barang jumpaan (found object).

Dianjurkan oleh ArtisFair yang diasaskan oleh Datuk Seri Bernard Chandran, pameran itu berlangsung di Tingkat 3 Fahrenheit88, Bukit Bintang hingga 25 Mei ini, dibuka setiap hari kecuali Isnin pada 11 pagi hingga 9 malam.

Ono yang dilahirkan dan dibesarkan oleh keluarga yang bekerja sebagai pelaut kapal barangan terbuang dan peniaga dalam industri arang, perjalanan artistik anak jati Georgetown itu menggambarkan hubungan mendalam dengan warisan tradisi maritim keluarganya.

Keluarga menjadi pengaruh terbesar dan beliau ingin mewarisi kapal barangan terbuang datuknya apabila besar dan belayar merentasi rantau ini, mengimport dan berdagang arang, bagaimanapun cita-citanya itu tidak kesampaian.

"Saya tidak boleh membaca dan menulis kerana menghidap disleksia. Saya cuba mencipta semua objek ini (kepingan seni) seolah-olah ia diari saya, ada kisah di sebaliknya dan saya cuba meluahkan perasaan di situ," katanya kepada Bernama hari ini.

Ono yang merupakan artis tatu yang telah bergelumang dengan logam sebagai bentuk seni selama 20 tahun, mendapati kedua-duanya mencabar namun indah, dan melihat peluang untuk menggunakan semula logam menjadi karya seni baharu.

Apabila koleksinya bertambah, Ono mula membina arca dan pemasangan daripadanya – seperti membina sebuah diari daripada khazanah memorinya.

Satu daripada impian Ono ialah mampu menulis, agar dapat menulis di atas kertas perasaan dan fikiran yang ingin diluahkannya.

Di bawah naungan Lumina, program residensi seni yang dibantu ArtisFair sejak 2023, Ono, artis yang belajar sendiri, bekerja dengan Bernard untuk mengubah ekspresi artistik asal kepada visi yang lebih halus bertujuan merungkai kisah silamnya.

Pameran itu memaparkan 16 seni pemasangan beliau, setiap satunya kaya dengan makna dan simbolisme, menjemput penonton menyelami penghormatan Ono kepada rumah, keluarga, warisan dan empat dekad hidupnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan