AM > BERITA

MUTANG TAGAL KOMITED DALAM USAHA REFORMASI INSTITUSI PARLIMEN - JOHARI

10/05/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei  (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyifatkan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia hari ini sebagai seorang pemimpin yang komited dalam usaha reformasi institusi Parlimen Malaysia.

Johari juga berkata, mendiang merupakan seorang pemimpin kebanggaan etnik Lun Bawang yang amat prihatin akan kebajikan rakyat Malaysia dan pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada semua.

"Saya ingin menzahirkan ucap takziah dan rasa sedih saya atas perkhabaran duka pemergian Mutang Tagal yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

"Saya mewakili seluruh Parlimen Malaysia berharap agar keluarga mendiang diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi saat yang memilukan ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi tadi di IJN, selepas menerima rawatan di situ setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lepas.

Mutang meninggalkan isteri Datin Ho May Leng dan tiga anak.  

Pada 19 Feb lepas, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan