AM > BERITA

RADIO KLASIK PERKENAL DUA RANCANGAN BAHARU, BERSIARAN 24 JAM

04/06/2024 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Radio Klasik memperkenalkan dua rancangan baharu berbentuk interaktif bagi mengisi slot dalam segmen Harmoni Klasik iaitu Malam Bulan Di Pagar Bintang dan Sri Bulan sempena pelancaran Radio Klasik 24 jam yang akan bermula pada 12 tengah malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman berkata segmen itu merupakan satu peluang bagi mengukuhkan jenama Radio Klasik.

“Rancangan ini membuatkan jenama (Radio Klasik) lebih segar dan jika kita lihat populasi pekerja di Malaysia, ramai yang bekerja syif jadi mereka akan sentiasa dilayan. Stesen ini mempunyai 1.6 juta pendengar antaranya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang pernah memuji Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana mengekalkan saluran Radio Klasik.

“Rancangan ini bertujuan mengubat rindu pendengar setia juruhebah-juruhebah ini dari era Radio Irama Melayu Asli (RIMA) hingga kini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Radio Klasik 24 jam di Wisma Radio RTM di sini malam ini.

Suhaimi berkata segmen Malam Bulan Di Pagar Bintang bakal menampilkan personaliti radio Rosli Derani yang akan bersiaran setiap hujung minggu dari 12 tengah malam hingga 2 pagi selain digandingkan bersama juruhebah yang bertugas bagi merancakkan malam hujung minggu.

Beliau berkata Sri Bulan pula akan menampilkan mantan juruhebah yang pernah menempa nama di Radio Klasik antaranya DJ Haris, DJ Razz dan DJ Norazlina Mohamad, yang akan bersiaran dua minggu sekali pada 12 tengah malam hingga 2 pagi. 

Radio Klasik sebelum ini bersiaran enam jam melalui siaran automasi menerusi segmen Harmoni Klasik dari 12 tengah malam hingga 6 pagi dan selepas ini akan bersiaran sepenuhnya bersama juruhebah yang akan menemani dan menghiburkan pendengar dengan menyiarkan lagu-lagu menggamit kenangan dari tahun 50-an hingga awal 90-an.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan