AM > BERITA

KERAJAAN KOMITED PASTIKAN KEBAJIKAN VETERAN SENI TANAH AIR TERJAGA - FAHMI

08/06/2024 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan komited untuk memastikan kebajikan penggiat seni veteran tanah air sentiasa dijaga dan dibela, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata beberapa perancangan bagi menyantuni artis-artis veteran sedang dilaksanakan agensi di bawah kementeriannya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membela golongan itu serta membuka peluang kepada mereka yang ingin kembali berkarya dalam industri.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerajaan sangat prihatin dan cakna (tentang kebajikan mereka). Mereka (veteran) telah banyak turut terlibat dalam membina budaya negara kita...kita akan terus usahakan, Insya-Allah.

"Saya ingin lihat peluang dipanjangkan kepada lebih ramai, jadi kita akan teliti cara yang mampan untuk terus membantu mereka. Kita tidak mahu veteran kita diingat semasa zaman keemasan mereka sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menziarah dan menyampaikan sumbangan sebuah keyboard kepada komposer dan pemuzik terkenal era 80-an Roslan Ariffin Jamil, 62, atau lebih dikenali sebagai Ross Ariffin di kediamannya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail.

Mengulas mengenai sumbangan tersebut Fahmi berkata ia diharapkan dapat terus membakar semangat Ross Arifin untuk kembali sihat dan terus menyumbang kepada industri muzik negara.

Beliau berkata Ross Ariffin telah menyampaikan hasrat untuk kembali aktif berkecimpung dalam mengolah muzik. 

"Saya juga telah memberikan cadangan kepada Ross agar beliau memanfaatkan juga media sosial selain mengajar kelas muzik kepada anak-anak di PPR ini. Saya lihat ini adalah satu perkara yang positif dan saya harap ia akan dapat merapatkan hubungan beliau dengan komuniti setempat," katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial kisah hidup menyayat hati Ross Ariffin yang tiada kediaman sendiri menyebabkan dia menjadi gelandangan sejak lebih tiga tahun lalu sehingga menarik perhatian ramai.

Ross Ariffin yang pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan aktif sebagai pemuzik undangan adalah komposer yang menciptakan lagu penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aishah Ariffin, Jaclyn Victor dan Fauziah Latiff.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan