AM > BERITA

JASA DAN KEBAIKAN HUZZ KEKAL TERPAHAT DALAM INDUSTRI HIBURAN

09/06/2024 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Dunia kewartawanan hiburan hari ini kehilangan sebutir permata yang mewarnai industri seni tempatan.

Pemergian Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih popular dengan panggilan Huzz pada usia 58 tahun tepat 6.10 petang tadi, mengakhiri derita ditanggung Allahyarham akibat kanser usus tahap empat sejak Mac lepas.

Khabar duka pemergian Huzz meninggalkan kesan cukup mendalam bukan sahaja rakan-rakan wartawan tetapi juga dalam kalangan artis dan selebriti.

Allahyarham Huzz memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 1980-an bersama akhbar Harian Nasional, sebelum menjadi Pengarang Majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd sekitar awal 1990.

Selain itu, Huzz juga pernah menyertai majalah Media Hiburan milik Kumpulan Karangkraf sebelum ‘berhijrah’ ke Utusan Malaysia serta pernah bergandingan dengan Allahyarham Juwie, seorang lagi wartawan hiburan popular seangkatannya di majalah Mangga, juga terbitan Utusan Karya.

Allahyarham terkenal dengan perwatakan ceria dan ramah, selain sikap profesional dalam melaksanakan tugas sehingga amat disenangi rakan seperjuangan dan artis.

Penulisan Huzz yang bersifat kritikan, teguran serta pandangannya dalam industri hiburan tempatan amat signifikan malah beliau dianggap antara sosok penting dalam perjalanan kerjaya seni ramai artis hebat seperti Biduwanita Sharifah Aini, Ramlah Ram dan penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sekitar 2006, Huzz pernah menggegarkan industri hiburan negara apabila menjadi wartawan pertama  mendedahkan kisah cinta Siti Nurhaliza bersama usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan hasil penulisan beliau yang menggunakan julukan nama ‘Datuk K’ terus menjadi fenomena dan kekal sehingga kini.

Selain hebat dalam penulisan berita hiburan, bakat Huzz turut menyinar dalam penulisan lirik menerusi lagu Keangkuhanmu dendangan Ramlah Ram.

Rakan seperjuangan Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin berkata walaupun Allahyarham berkhidmat dalam bidang kewartawanan hiburan namun hasil kerja Huzz amat berimpak tinggi dalam industri itu malah disifatkan sebagai pemula trend di kemuncak kerjayanya.

“Walaupun dia merupakan wartawan hiburan tetapi peranan dia dalam dunia kewartawanan Malaysia sangat besar dan merupakan pemula trend kepada industri ini. Dia kalau nak sesuatu berita, dia akan cari sampai ke lubang cacing...begitu semangat arwah.

“Berita-berita yang dibuat banyak beri impak kepada masyarakat terutama kepada individu yang berada dalam industri seni. Ada satu berita dia tulis elok-elok daripada artis itu nak cerai tiba-tiba terus tak jadi,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang mengenali arwah sejak tahun 90an berkata, Huzz juga antara individu terakhir yang mempertahankan Utusan Melayu Berhad sehingga syarikat penerbitan itu ditutup pada 2019.

Sementara itu, teman rapat arwah yang juga merupakan pelakon veteran Datuk Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Kak Ogy berkata arwah seorang wartawan yang sangat amanah dalam menjaga rahsia selain suka membantu selebriti ketika itu.

“Dia memang seorang yang jaga rahsia. Kalau dia nak buka cerita buruk mengenai artis boleh tulis, tetapi dia bukan orang seperti itu. Malah Huzz sentiasa memberi sokongan banyak kepada rakan artis dan juga bukan jenis yang suka menunjuk-nunjuk bila tolong orang,” katanya.

Turut berkongsi kenangan bersama arwah, Siti Nurhaliza yang mengenali Huzz sejak dari awal bergelar artis selepas memenangi pertandingan Bintang HMI pada 1995.

Menurut penyanyi itu, beliau dan suami sempat menziarah Allahyarham di hospital sebelum ini dan Huzz bercerita tentang kisah dan pengalaman dilalui bersama sepanjang kerjasama antara artis dan wartawan.

“Sewaktu melawat beliau, kami juga sempat memberi khabar bahawa pihak Yayasan Nurjiwa akan menunaikan (upah) badal haji buat Allahyarham. Doakan agar urusan badal haji Allahyarham dapat kami sempurnakan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Pemergian Huzz tentunya ditangisi namun jasa, semangat dan kecintaan Allahyarham dalam merancakkan industri hiburan tanah air pastinya akan diingati dan terpahat dalam dunia seni tempatan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan