AM > BERITA

MALAYSIA GESA NEGARA D-8 SUPAYA TIDAK HULUR BANTUAN KEPADA ISRAEL

09/06/2024 02:11 PM

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) --  Malaysia menggesa negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) supaya tidak memberikan dana atau bantuan kepada Israel termasuk kerjasama ekonomi  yang menyumbang kepada pembiayaan ketenteraannya dan pendudukan haram di Palestin.  

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian sebagai respons kepada perjuangan rakyat Palestin dalam ucapannya  di Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar  D-8 di Istanbul, Turkiye pada Sabtu.  

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataannya pada Ahad berkata Mohamad yang menegaskan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin telah menekankan tiga lagi perkara pada mesyuarat itu iaitu menggesa D-8 secara sebulat suara menyokong gencatan senjata yang kekal dan berkesan di Gaza,  meningkatkan bantuan kemanusiaan dan memastikan bantuan dapat disampaikan dengan selamat serta tanpa halangan kepada penduduk Palestin, selain mengadakan kerjasama antara D-8 dan Palestin secara rasmi.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia dan negara anggota D-8 yang lain telah bersama-sama menyatakan solidariti dan sokongan jitu kepada perjuangan rakyat Palestin, sebagaimana yang digariskan dalam Deklarasi Mesyuarat Tergempar itu yang telah diluluskan.      

“Malaysia dan negara anggota D-8 yang lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza dan keseluruhan Wilayah Palestin yang diduduki.

Deklarasi itu juga menuntut satu gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat, selain menyokong  segala usaha untuk memperkasakan ekonomi Palestin serta membina semula Gaza berikutan pengunduran tentera Israel,” katanya.

Sewaktu kunjungannya ke Turkiye, Mohamad juga melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya Hakan Fidan.

“Pertemuan yang berlangsung antara kedua-dua menteri itu berkisar mengenai pelbagai isu antarabangsa, serantau  dan dua hala yang menyentuh kepentingan bersama, terutamanya  situasi di Gaza.

Beliau juga bertukar-tukar pandangannya dengan Fidan mengenai bagaimana D-8 mampu meningkatkan usaha untuk mencari penyelesaian kepada penderitaan yang dialami rakyat Palestin, kata Wisma Putra.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tergempar itu merupakan sebahagian daripada usaha-usaha berterusan negara di pelbagai platform untuk menyokong Palestin dan mencari jalan menamatkan kekejaman Israel di sana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan