AM > BERITA

JAS KEDAH TAHAN OPERASI KILANG ARANG BRIKET

10/06/2024 11:12 AM

ALOR SETAR, 10 Jun (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menahan operasi sebuah kilang yang menghasilkan arang briket di Sungai Petani susulan Op Kabut yang dilaksanakan baru-baru ini.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menerima aduan orang awam berhubung masalah bau dan asap di beberapa kawasan di Sungai Petani sebelum melaksanakan operasi berkenaan bermula Khamis lepas sehingga semalam.

"Operasi dijalankan bagi mencari punca pencemaran serta memeriksa premis-premis yang berpotensi menjadi punca pencemaran berkenaan dan orang awam memaklumkan pencemaran itu sering berlaku pada awal pagi. 

"Dalam operasi itu, JAS Kedah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap sebuah kilang produk arang briket kerana gagal menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara sehingga menyebabkan berlaku pencemaran di kawasan sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Op Kabut itu dilaksanakan bertujuan memantau aktiviti kilang-kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani terutama punca yang berpotensi menghasilkan pelepasan bendasing ke udara dan keberkesanan sistem kawalan pencemaran udara di kilang berkenaan.

Sharifah Zakiah berkata tindakan POK itu diambil bagi menghentikan operasi yang menyebabkan pencemaran udara dan pihak kilang juga diarahkan menjalankan kerja-kerja pembaikan serta penambahbaikan bagi menangani masalah berkenaan.

"Kilang itu juga didapati tidak mempunyai Orang Yang Berwibawa (OYB) untuk menjalankan kerja pemantauan dan pengendalian kelengkapan kawalan pencemaran. OYB penting untuk membantu dalam aspek kawalan pencemaran kepada alam sekitar terutamanya pelaksanaan pematuhan kendiri di premis.

"JAS mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru orang ramai terus bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau http://easyan.doe.gov.my," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan