AM > BERITA

MAHA 2024 SASAR RM6 BILION NILAI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN - MOHAMAD

10/06/2024 12:57 PM

SERDANG, 10 Jun (Bernama) -- Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada Sept ini menyasarkan memperoleh kira-kira RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman serta RM40 juta nilai jualan langsung.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata itu petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan untuk MAHA 2024 yang kini menyambut ulang tahun ke-100 penganjuran sejak kali pertama dianjurkan pada 1923. 

“Menelusuri sejarah 100 tahun penganjuran, menunjukkan betapa pentingnya pameran ini dalam perkembangan sektor pertanian negara. 

“MAHA memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi pertanian, memperkenalkan inovasi, dan menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak dalam industri pertanian khususnya bagi melestarikan keterjaminan makanan negara,” katanya pada majlis pelancaran MAHA 2024 bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ di sini hari ini.

Menerusi MAHA 2024, Mohamad berkata pihaknya berhasrat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai teknologi pertanian moden dalam kalangan petani serta pengusaha tempatan. 

“Melalui pameran ini, pengunjung dan pihak yang berkepentingan akan dapat merasai pengalaman secara langsung untuk aplikasi inovasi seperti pertanian pintar, penggunaan data raya dan automasi boleh diaplikasikan dalam operasi harian mereka,” katanya. 

Beliau berkata MAHA 2024 perlu menjadi platform untuk mempromosikan produk pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa kerana disasarkan bilangan pempamer kali ini melebihi 2,000 syarikat.

“Penganjuran MAHA 2024 juga perlu menekankan fokus untuk menggalakkan amalan pertanian lestari yang dapat memelihara alam sekitar dan memastikan kelestarian sumber pertanian,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata MAHA 2024 turut akan memberi penekanan kepada Internet benda (IoT) dalam pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan.

“MAHA 2024 akan turut melaksanakan beberapa pendekatan baharu yang lebih bersifat interaktif dan selari dengan minat generasi pada masa kini,” katanya. 

MAHA 2024 bakal berlangsung di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada 11 hingga 22 Sept ini dengan menyasarkan kehadiran tiga juta pengunjung. 

Sebelum ini, MAHA 2022 merekodkan kehadiran lebih satu juta pengunjung dengan 33 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM5.64 bilion ditandatangani.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan