AM > BERITA

KKM AKAN UMUM PELAN REFORMASI PEMBIAYAAN PENJAGAAN KESIHATAN

10/06/2024 08:47 PM

SHAH ALAM, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan mengumumkan pelan Reformasi Pembiayaan Penjagaan Kesihatan bertujuan memperkukuh dan menambah baik sistem penjagaan kesihatan di negara ini, dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata agenda reformasi itu antara lain menumpukan cara kreatif dan inovatif membelanjakan bajet tahunan yang diumumkan kerajaan.

Beliau berkata ini dapat menambah kedudukan kewangan kementerian bagi kebaikan sistem penjagaan kesihatan supaya tidak tergugat dengan status fiskal negara.

“Kita pada asasnya berasaskan sistem cukai dan (kementerian) menerima RM41.2 bilion (belanjawan) untuk tahun ini dan RM6.07 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Sebenarnya selama ini kita kekurangan dana, kekurangan petugas dan mempunyai beban kerja yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pakar Avisena di sini hari ini.

Menurutnya sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas, Malaysia sepatutnya membelanjakan enam hingga tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan berbanding 5.1 peratus ketika ini.

Sehubungan itu Dzulkefly memuji usaha sektor swasta dalam melengkapkan sistem penjagaan kesihatan sektor awam sambil menggesa supaya mereka turut terlibat dalam penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Sementara itu Dzulkefly berkata kementeriannya sedang berusaha mengoptimumkan penggunaan katil menerusi penawaran rawatan harian di hospital-hospital utama dan pendigitalan Unit Pengurusan Katil (BMU) secara berpusat melalui sistem Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) hospital.

Katanya ia selaras dengan sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan nisbah dua katil untuk setiap 1,000 penduduk kepada 2.06.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan