AM > BERITA

PEMULANGAN CUKAI: PULAU PINANG AKAN HANTAR PERMOHONAN RASMI KEPADA PM ANWAR

11/06/2024 12:09 AM

GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang akan menghantar surat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan mengembalikan 20 peratus hasil kutipan cukai kepada negeri selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bulan depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagaimanapun cadangan tersebut telah pun disuarakan kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan secara tidak rasmi dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Dalam pertemuan sebelum ini, Perdana Menteri kata 'Bagus’ (permintaan mengembalikan semula 20 peratus hasil cukai kepada Pulau Pinang) tetapi ia tidak bermakna akan diluluskan, jadi sebab itu saya akan berbincang mengenai permintaan ini dengan Ketua Menteri dan Menteri Besar lain Julai nanti.

"Dua puluh peratus itu hanya lontaran cadangan saya. Itu tertakluk kepada keinginan (Pusat) untuk melaksanakan perkongsian hasil ini. Jika ada persetujuan, kita boleh bincangkan dengan lebih lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Maybank 2024 Invest ASEAN 'Penang: Malaysia's High-Tech Powerhouse’ di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini hari ini.

Beliau berharap kerajaan pusat dapat bersikap terbuka mengenai cadangan perkongsian hasil itu memandangkan banyak projek dan inisiatif penting yang dirancang memerlukan dana untuk dilaksanakan.

Pada 29 Mei lepas, Chow pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) memohon kerajaan Persekutuan agar mengkaji semula sistem pengagihan cukai kepada negeri dengan mengembalikan 20 peratus daripada wang cukai yang dikutip daripada negeri supaya mewujudkan ruang untuk pelaksanaan program dan projek pembangunan dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan