AM > BERITA

HRD CORP METERAI KERJASAMA SEDIA LATIHAN PENJAGAAN WARGA EMAS DENGAN KOLEJ DI JEPUN

11/06/2024 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Shuto Iko College of Medical Care & Welfare semasa lawatan lima hari delegasi yang diketuai Menteri Sumber Manusia Steven Sim ke Jepun baru-baru ini.

HRD Corp dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu akan membolehkan pihaknya menawarkan kursus pensijilan profesional penjagaan warga emas kepada rakyat Malaysia, selain mendapatkan teknologi latihan dan pensijilan penjagaan warga emas dari negara itu.

"Melalui kerjasama ini HRD Corp juga akan mengenal pasti dan melengkapkan jurulatih serta penyedia latihan Malaysia untuk membolehkan mereka menawarkan kurikulum dan program pensijilan Shuto Iko pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu Steven Sim dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu melengkapi usaha kerajaan untuk melabur serta mengawal selia ekonomi penjagaan, memandangkan potensinya untuk menyumbang antara 10 peratus dan 39 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesebuah negara. 

“MoU ini akan mengiktiraf pekerjaan itu sebagai kerjaya formal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi kita, saya berharap rakyat Malaysia akan meneroka peluang pekerjaan profesional dalam sektor ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood berkata agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu berbesar hati untuk terus memperluas tawaran kepada semua rakyat Malaysia melalui perkongsian dengan Shuto Iko College of Medical Care & Welfare.

“Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sektor penjagaan sedang berkembang di semua rantau dan dijangka mencipta lebih banyak pekerjaan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Shuto Iko College of Medical Care & Welfare merupakan satu daripada sembilan fakulti di bawah Yayasan Pendidikan Jepun yang menumpukan  kepada latihan penjagaan, melalui kursus pensijilan profesional menggunakan teknologi terkini.

Institusi itu menyediakan kursus pensijilan profesional jangka pendek dan panjang yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun kepada lepasan sekolah menengah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan