AM > BERITA

TVET TERMAJU MTUN MARTABAT TVET SEBAGAI PILIHAN PENDIDIKAN TERUNGGUL - ZAMBRY

11/06/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) 2030 berupaya memartabatkan TVET sebagai antara pilihan pendidikan yang terunggul, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata TVET Termaju MTUN 2030 bakal menyediakan peluang pendidikan dalam sektor TVET yang lebih tinggi dan mendalam, seterusnya menidakkan pemikiran bahawa TVET merupakan pilihan kelas kedua.

Menurut Zambry TVET Termaju MTUN melibatkan kerjasama antara universiti dan politeknik dalam negara supaya pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disediakan laluan menyeluruh dalam pengajian TVET.

"Dengan erti kata lain, menerusi TVET Termaju MTUN kita buka ruang terus kepada pengajian TVET asas di peringkat politeknik sampai Doktor Falsafah (PhD) di peringkat universiti.

"Oleh itu, tiada lagi (pemikiran bahawa) siapa yang pergi masuk sekolah vokasional (adalah) kelas kedua. Pemikiran (sedemikian) tidak seharusnya ada lagi, setiap pelajar mempunyai potensi yang sama rata," katanya.

Zambry berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup program MTUN Industry-Academia Discourse on Advanced TVET (MIAD) 2024 di sini hari ini.

Program berkenaan menghimpunkan kumpulan pakar dalam kalangan pemimpin, pakar industri dan penggubal dasar bagi meneroka peranan penting TVET dalam membentuk tenaga kerja global pada masa hadapan.

Program turut menyaksikan pelancaran TVET Termaju MTUN 2030, Malaysia-China Kaiwu Workshop serta majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman/Memorandum Perjanjian (MoU/MoA) dengan rakan strategik MTUN bagi kerjasama dalam memajukan TVET. 

TVET Termaju MTUN 2030 merupakan inisiatif pendidikan yang meluas yang menekankan pembangunan bakat melalui kepakaran teknikal, kemahiran insaniah serta keusahawanan di peringkat pengajian tinggi selaras Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Ia bermatlamat untuk memupuk tenaga kerja mahir yang dilengkapi dengan kecekapan TVET yang tinggi untuk menampung permintaan pasaran kerja tempatan dan global.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan