AM > BERITA

OPERASI MEDEVAC: BOMBA TERBANGKAN WARGA EMAS, BAYI ORANG ASLI KE HOSPITAL 

12/06/2024 10:50 AM

GUA MUSANG, 12 Jun (Bernama) -- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medevac) membawa dua pesakit Orang Asli dari Pos Balar dan Pos Bihai bagi mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam. 

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rizzan Jefri berkata kedua-dua pesakit berkenaan diterbangkan menggunakan pesawat  sama iaitu jenis Agusta Westland (AW) 139 yang berlepas dari Pulau Pinang pada 12.30 tengah hari. 

"Anak kapal tiba di Pos Balar pada 1.58 tengah hari bagi membawa pesakit bayi lelaki Zulfahmi Ikhwan Sani, tujuh bulan, sebelum meneruskan penerbangan di Kampung Tendrik, Pos Bihai pada 2.20 petang untuk mendapatkan pesakit wanita warga emas Andak Itam, 64. 

"Bayi lelaki yang mengalami sesak nafas dan batuk diiringi ibu, ayah serta kakaknya, manakala pesakit warga emas ditemani seorang pengiring pula mengalami lelah, letih dan lesu dan tidak makan selama tiga hari," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Rizzan berkata pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 2.40 petang dan kedua-dua pesakit terus dibawa ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Anak kapal berlepas pulang ke Subang, Selangor pada 2.45 petang dengan jumlah tempoh penerbangan dua jam 54 minit," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan