AM > BERITA

KES KONTENA TERBANG: TIGA LAGI PEGAWAI KASTAM DITAHAN

13/06/2024 12:40 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan tiga lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja (JKDM) bagi membantu siasatan berhubung kes ‘kontena terbang’ atau sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya turut merampas wang tunai lebih RM3 juta susulan penahanan itu.

“Saya telah mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya untuk mendedahkan penemuan wang ini, yang begitu besar (diagihkan) dalam kalangan mereka yang terlibat.

“Akan ada beberapa lagi (akan) disiasat dan jika ada keperluan, kita akan tahan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ di sini hari ini.

Azam berkata pihaknya juga telah memulakan permohonan melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapakan kerjasama pihak berkuasa Singapura dalam usaha menjejak seorang warganegara republik berkenaan yang disyaki dalang utama kes.

“Yang ini kita telah mulakan permohonan melalui AGC kerana permohonan kepada negara luar memerlukan kelulusan AGC, tetapi kita juga telah buat jaringan perisikan dengan Singapura bagi mengesan pihak terbabit,” katanya.

Pada 6 Jun lepas, tujuh individu termasuk pegawai JKDM terlibat dalam kes kontena terbang yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor ditahan dalam Op Transit.

Kesemua yang ditahan itu disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.

Hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM dan JKDM, pihak berkuasa berjaya menahan 19 kontena mengandungi pelbagai barangan import, yang cuba diseludup masuk ke dalam negara tanpa dibayar cukai, termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED), lampu solar dan tin daging babi yang diproses.

Terdahulu Azam dalam ucapannya di majlis pelancaran itu berkata buku bertahjuk ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ yang diterbitkan oleh Transparency International Malaysia, dihasilkan menerusi kolaborasi pemimpin dari pelbagai komuniti agama, dengan setiap mereka menyumbang pandangan mendalam mengenai tajuyk yang sememangnya amat penting kepada negara.

Beliau berkata aspek agama dan kerohanian terjalin kemas dalam masyarakat Malaysia, mempengaruhi nilai, tingkah laku dan standard etika rakyat.

“Buku ini mendalami ajaran enam agama utama dunia iaitu Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao. Ia meneroka secara mendalam mengenai cara setiap agama melihat dan menangani bencana rasuah, menekankan nilai universal integriti, keadilan dan kesaksamaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan