AM > BERITA

DUA RUU BERKAITAN PENGGABUNGAN MAVCOM, CAAM DIBENTANG DI DEWAN RAKYAT JUN INI

13/06/2024 03:19 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Dua Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Jun ini bagi tujuan penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Jemaah Menteri pada 5 Jun lepas bersetuju untuk membentangkan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan).

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan keputusan Jemaah Menteri secara prinsip pada 11 Dis 2019 bahawa MAVCOM akan dibubarkan dan semua fungsinya dipindahkan kepada CAAM.

“Selepas itu, badan kawal selia industri penerbangan Malaysia dirombak dan diletakkan di bawah satu entiti untuk memangkinkan perkembangan industri penerbangan awam selari dengan hala tuju dasar kerajaan supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pembaharuan ini juga bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

“Dengan penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak, tiada lagi keperluan untuk mendapat kelulusan berasingan daripada dua agensi. 

“Sebaliknya, satu entiti kerajaan akan memproses permohonan kelulusan teknikal dan pengeluaran lesen,” katanya.

Loke berkata mekanisme tunggal seperti ini juga diguna pakai di beberapa negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan Republik Rakyat China.

“Pembaharuan ini akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada termasuk mewujudkan kumpulan pakar ekonomi dan teknikal di bawah suatu entiti.

“Ia sekali gus memastikan obligasi terhadap hal penerbangan awam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilaksanakan dengan sempurna berdasarkan piawaian dan amalan yang disarankan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya.

Ditanya bila penggabungan ini dijangka dibentuk sepenuhnya, Loke berkata pihaknya menjangkakan penggabungan itu akan berlaku sepenuhnya pada tahun depan. 

“Kita akan bawa RUU ini ke Parlimen, selepas Parlimen bahas dan meluluskan RUU ini tidak bermaksud bahawa akan ditutup serta-merta. Ia akan mengambil masa untuk penggabungan itu berlaku, itu hanya akan diumumkan kemudian, mungkin tahun depan,” katanya.

MAVCOM ditubuhkan untuk mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia serta mengadakan peruntukan bagi fungsi dan peraturan dalam perkara yang berkaitan.

CAAM pula bertanggungjawab dalam pengawalseliaan teknikal penerbangan awam negara selaras dengan prosedur teknikal dan keselamatan yang ditetapkan oleh ICAO.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 24 Jun hingga 18 Julai disusuli mesyuarat ketiga selama 35 hari dari 7 Okt hingga 5 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan