AM > BERITA

PIHAK YANG JADI 'KEPALA' AKTIVITI SALAH LAKU PEGAWAI, CEMAR IMEJ PERKHIDMATAN AWAM PERLU DIBUANG - EAIC

13/06/2024 04:01 PM

SEPANG, 13 Jun (Bernama) -- Ada pihak atasan yang bersekongkol dalam aktiviti salah laku anak buah, dan menjadi 'kepala' kepada perbuatan yang mencemarkan imej perkhidmatan awam, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata mereka yang dalam perkhidmatan awam terlibat dengan salah laku serta melanggar prinsip integriti perlu dibuang dari sistem, termasuk ketua-ketua jabatan jika mereka dikenal pasti melindungi perbuatan itu.

"Tindakan tidak popular ini perlu berani diambil walaupun tidak disukai. Tindakan sebegini boleh menyelamatkan imej perkhidmatan awam," katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Koordinasi EAIC ersama ketua jabatan agensi penguatkuasaan seliaan 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata perbuatan penguat kuasa dan penjawat awam yang tidak berintegriti akan diketahui oleh agensi masing-masing, namun terdapat kecenderungan agensi untuk ‘menyimpan’ pegawai yang bermasalah yang harus dihentikan.

Ismail berkata mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai berkenaan boleh dianggap melakukan satu kesalahan.

Beliau berkata EAIC juga bimbang apabila melihat ada agensi penguatkuasaan seliaan yang seakan-akan memperlekeh pengesyoran hukuman terhadap siasatan dan aduan yang diterima EAIC.

Secara amnya beliau berkata hukuman tatatertib yang dikenakan oleh pihak berkuasa tatatertib agensi penguatkuasaan seliaan tidak boleh lebih rendah daripada syor EAIC, memandangkan pegawai siasatan EAIC telah menjalankan siasatan lengkap dan mengambil kira setiap aspek dengan sewajarnya.

"Apabila pihak pihak berkenaan tidak mengguna pakai pengesyoran EAIC, ia secara tidak langsung memberi isyarat bahawa agensi penguatkuasaan itu tidak serius dalam usaha menangani sesuatu isu, malah telah secara terang menerima perbuatan salah laku dan tidak berintegriti," katanya.

Ismail berkata sekiranya ketua jabatan menganggap salah laku integriti suatu perkara yang remeh, maka salah laku akan terus dinormalisasikan dalam kalangan penjawat awam, dan pendekatan itu menyebabkan agensi penguatkuasaan seliaan beranggapan bahawa EAIC ditubuhkan untuk mencari kesalahan.

Beliau berkata penubuhan EAIC adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh dan memperkasa integriti dalam kalangan penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan, sekaligus diterjemahkan dalam setiap pengesyoran yang diberikan EAIC.

Mesyuarat Koordinasi itu diadakan kali pertama pada 22 Jun 2022 dan dipersetujui oleh ahli pada ketika itu untuk diadakan secara berkala dua kali setahun, dan ia dihasratkan untuk menjadi medium perbincangan EAIC bersama dengan ketua-ketua jabatan terutama berkenaan perkara dasar kawalan dan pengawasan integriti. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan