AM > BERITA

59,940 SYARIKAT MELIBATKAN 198,046 KENDERAAN BERDAFTAR SKDS SETAKAT SEMALAM - KPDN

13/06/2024 04:26 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun( Bernama) -- Sebanyak 59,940 syarikat melibatkan 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan telah mendapat kelulusan subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggguna Datuk Armizan Ali dalam kenyataan hari ini berkata permohonan menyertai SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula Isnin lepas. 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merintis perluasan BUDI MADANI: SKDS 2.0 pada 7 Mac lepas yang pada awalnya hanya terbuka kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan.

Pada 13 Mei, SKDS 2.0 telah ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan terlibat termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

Armizan berkata sehari sebelum pelarasan harga bermula iaitu pada 9 Jun lepas, KPDN menerima keseluruhan permohonan daripada 40,264 syarikat melibatkan 156,242 kenderaan.

“Kelulusan permohonan meningkat pada kadar tertinggi pada 10 Jun yang merekodkan 8,584 syarikat melibatkan 19,612 kenderaan pengangkutan awam dan barangan. 

“Ini adalah peningkatan sebanyak 7,097 (477 peratus) syarikat dan 16,584 (548 peratus) kenderaan berbanding hari sebelumnya pada 9 Jun yang hanya mencatatkan kelulusan permohonan 1,487 syarikat dengan 3,028 kenderaan,” katanya.

Beliau berkata kelulusan serta-merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik permohonan disertakan dengan maklumat lengkap.

“KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun ini, selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima fleet card,” katanya.

Armizan turut menggesa syarikat pengangkutan yang layak untuk segera membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my bagi mendapat manfaat subsidi bersasar ditawarkan oleh kerajaan itu.

Kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI dengan peruntukan subsidi RM200 tunai bulanan diberikan kepada golongan yang layak seperti petani dan pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel persendirian dan permohonan boleh dibuat bermula Isnin lepas. 

Inisiatif itu adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Bermula 10 Jun lepas, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 per liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan