AM > BERITA

PBSL: PENGHUNI PUSAT KOREKSIONAL PERLIS BERTEKAD TIDAK ULANGI KESALAHAN SAMA

13/06/2024 08:21 PM

ARAU, 13 Jun (Bernama) -- Beberapa penghuni Pusat Koreksional Perlis Jabatan Penjara Malaysia yang dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Aidil Adha hari ini, bertekad untuk tidak mengulangi kesalahan sama demi masa depan diri dan keluarga.

Seorang penghuni hanya ingin dikenali sebagai Akmal, 24, yang menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah sejak 10 bulan lepas berkata pembebasan hari ini memberikannya pengajaran untuk tidak mengulangi kesalahan itu dan akan berusaha menjadi insan lebih baik lagi selepas ini.

Akmal yang sepatutnya tarikh sebenarnya dibebaskan pada 15 Dis nanti itu berkata dia telah ditawarkan bekerja oleh majikan bagi perkhidmatan mencuci kereta dan kebun setelah dilepaskan serta berazam untuk menjalankan kerja bersungguh-sungguh untuk menyara isteri dan anaknya.

"Saya gembira, sedih dan bersyukur sangat sebab dapat bebas awal, saya dapat beraya bersama  anak lelaki saya berusia setahun dan isteri… ini kali kelima saya masuk penjara sebab kesalahan sama, kali ini saya ambil ia sebagai pengajaran untuk tidak mengulanginya lagi,” katanya.

Akmal berkata demikian kepada pemberita sebelum berlangsung program pelepasan 15 penghuni pusat koreksional berkenaan yang disempurnakan Pengarah Penjara Perlis Raja Nazril Azman Raja Azam Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu seorang lagi penghuni hanya ingin dikenali sebagai Ping, 58, yang menjalani hukuman penjara sejak tujuh bulan lepas atas kesalahan menjual nombor ekor berkata, dia sangat gembira dilepaskan lebih awal kerana dapat berjumpa dengan ibu serta adik-adiknya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

"Saya sekarang sakit kanser prostat dan jantung, jadi saya sangat gembira dapat berjumpa emak dan adik-adik, saya juga akan menjalankan perniagaan keluarga dan nak jaga mak saja selepas ini, ini pertama kali saya masuk penjara," katanya yang sepatutnya tarikh sebenar dibebaskan pada 17 Nov nanti.

Sementara itu majikan yang menyediakan perkhidmatan mencuci kereta dan kebun, Ahmad Hafizal Husni, 49, berkata beliau sudah dua tahun menyertai program majikan kepada penghuni penjara untuk memberikan peluang kepada mereka kembali kepada masyarakat.

"Alhamdulillah sepanjang saya menyertai program ini mereka sangat komited dalam mengerjakan tugas dan mereka patut diberi peluang serta saya menyeru majikan di luar sana agar mengambil mereka untuk berkhidmat berbanding mengambil pekerja asing," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan