AM > BERITA

KELUARGA GURU AGAMA YANG MAUT DALAM KEMALANGAN TERIMA FAEDAH PERKESO

13/06/2024 09:16 PM

BACHOK, 13 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada keluarga seorang guru agama yang maut dalam kemalangan Ahad lepas.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata waris Allahyarham Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, menerima faedah itu yang disampaikan menerusi Ziarah Prihatin Perkeso.

"Hasil semakan oleh Skuad Perkeso Prihatin mengesahkan bahawa Allahyarham yang meninggal dunia dalam kemalangan itu adalah pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Januari 1995.

"Alhamdulillah, walaupun arwah bekerja di  Sekolah Menengah Ugama (A) Al-Hidayah Al-Islamiah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) selama tiga bulan, tetapi sekolah tempat arwah mengajar mencarum Perkeso," katanya kepada pemberita selepas program kunjungan Perkeso Kelantan di Kampung Lubuk Tembusu, Kubang Telaga, di sini, hari ini.

Nora berkata Perkeso turut memaklumkan kedua ibu bapa dan dua adik arwah yang berumur 21 tahun ke bawah juga menerima wang pencen RM1,040 sebulan, sehingga mereka berusia 21 tahun.

Terdahulu Ahad lepas Bernama melaporkan Nur Ain Fitriah meninggal dunia dalam dalam kemalangan jalan raya kira-kira dua kilometer dari rumahnya selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori pasir tanpa muatan

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan