AM > BERITA

15 PREMIS BUAT SAMBUNGAN ELEKTRIK HARAM DISERBU, SESB RUGI LEBIH RM3 JUTA

13/06/2024 11:01 PM

SANDAKAN, 13 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) baru-baru ini menyerbu 15 premis di Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran serta Sandakan kerana membuat penyambungan elektrik secara haram termasuk memanipulasi meter Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hingga mengakibatkan kerugian lebih RM3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata daripada 15 premis terbabit didapati 10 kes kecurian membabitkan premis ladang udang, pusat pelancongan, kedai perabot, restoran, kilang ais, kilang memproses makanan laut dan pusat hiburan.

"ECoS telah merampas bukti seperti kabel sambungan haram, meter elektrik yang telah diubah suai dan peralatan elektronik yang digunakan untuk mengganggu meter SESB," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pejabat ECoS Sandakan di sini hari ini.

Tanpa mahu mendedahkan tarikh spesifik serbuan itu, beliau berkata serbuan yang dilaksanakan bersama SESB itu turut memeriksa pepasangan elektrik di premis terlibat dan berjaya mengesan penggunaan 20 jana kuasa tidak berdaftar serta tidak dilesenkan.

Selain itu, Abdul Nasser berkata ECoS boleh mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah terhadap pemilik premis dan pihak yang bersubahat melakukan pengusikan meter atau pendawaian elektrik secara haram mengikut Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Menurut Abdul Nasser SESB juga boleh menuntut semula kerugian yang ditanggung daripada pesalah laku berdasarkan Seksyen 63(6) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Berkaitan pembukaan Pejabat ECoS Cawangan Wilayah Pantai Timur Sabah itu, beliau berkata ia membantu memudahkan urusan dan memberikan akses perkhidmatan berkaitan pendaftaran lesen termasuk aduan.

Abdul Nasser turut mengingatkan pengguna elektrik agar tidak melakukan aktiviti seperti pengusikan meter bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan