AM > BERITA

SETIAP SEN HASIL SUBSIDI DIESEL DIPULANGKAN KEPADA RAKYAT SEADILNYA - PM ANWAR

14/06/2024 02:41 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi menegaskan penjimatan daripada penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan akan dikembalikan kepada rakyat seadilnya. 

Sebelum ini,  Anwar berkata penjimatan menerusi penyasaran subsidi diesel akan dikembalikan kepada rakyat khususnya bagi menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Kita tidak dera rakyat miskin. Setiap sen tambahan, kita pulangkan balik,” katanya ketika berucap pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini.

Anwar berkata penyasaran subsidi diesel dilaksanakan kerana berlaku ketirisan melampau bahan bakar itu khususnya melibatkan penggunaan oleh kapal nelayan asing.

“Jumlah kenderaan mungkin naik sekitar lapan peratus tapi penggunaan diesel naik 20 ke 30 peratus, maknanya yang lain itu bocor.

“Tiris siapa bayar? Negara bayar... wang itu sepatutnya disalurkan ke pendidikan, kesihatan, untuk orang miskin tapi hilang kepada penyakau ini dan sebab itu kita kena buat penyasaran,” katanya.

Perdana Menteri juga mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan meskipun menerima subsidi diesel.

Menteri Kewangan itu berkata subsidi diesel ketika ini masih diteruskan kepada golongan berhak merangkumi nelayan, pengusaha bas sekolah dan pekebun kecil. 

Mengambil contoh perkhidmatan bas sekolah yang menerima subsidi diesel, beliau berkata pengusaha bas berkenaan bakal berdepan tindakan lesen dibatalkan jika menaikkan harga perkhidmatan mereka.

“Kita bagi amaran, kamu diberi subsidi (diesel)… jika kamu naik (harga) juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu dan batalkan syarat,” katanya.  

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilapor berkata untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Bagaimanapun, beliau berkata penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan