AM > BERITA

KERTAS SIASATAN ZAYN RAYYAN: MCMC DIMINTA BEKERJASAMA DENGAN PDRM - FAHMI

14/06/2024 03:05 PM

JOHOR BAHRU, 14 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penularan tangkap layar didakwa sebagai kertas siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada 6 Dis lepas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan itu perlu bagi mengekang sebarang spekulasi dalam kalangan masyarakat dan pihak yang melakukan perbuatan tersebut boleh diambil tindakan.

“Saya akan minta pihak MCMC berhubung dengan PDRM sekiranya ada tindakan yang perlu diambil...kita tidak tahu sama ada maklumat itu betul atau tidak..sekiranya benar, perlu ada pihak memberikan penjelasan dan jika tidak benar mereka tersebut perlu diambil tindakan,” katanya mengulas tindakan sebuah portal di Telegram memaparkan tangkap layar itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Program Sembang Santai bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai di sini hari ini.

Menurut Fahmi, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada MCMC berkaitan isu itu memandangkan perkara berkenaan baru berlaku.

Fahmi turut menasihati orang ramai agar tidak mendahului mahkamah dalam menghakimi kes tersebut sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menjalankan tanggungjawab mereka, selain tidak membuat spekulasi.

Semalam, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, iaitu ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya Disember tahun lepas.

Mahkamah kemudiannya memutuskan masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan