AM > BERITA

ACARA FIM2024 JANA POTENSI PELABURAN PERNIAGAAN FRANCAIS RM716 JUTA - EWON

14/06/2024 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2024 (FIM2024) kali ke-31 yang berlangsung pada 30 Mei hingga 1 Jun, 2024, berjaya menjana potensi pelaburan perniagaan francais bernilai RM716 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pencapaian itu hasil daripada tawaran pakej perniagaan membabitkan lebih 100 buah syarikat francais tempatan dan luar negara.

“FIM2024 kali ini disertai oleh 16 syarikat francais asing seperti Arab Saudi, Australia, China, Filipina, India, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

“Acara itu turut menjadi platform terbaik penggiat industri bagi menggalakkan pakej perniagaan francais dan mengembangkan perniagaan dalam serta luar negara menerusi hasil perbincangan strategik dengan bakal francaisi dan pelabur yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) menerusi kenyataan sama berkata bertemakan ‘From Network to Net Worth in Franchising,’ FIM2024 memberi fokus yang tidak hanya merangkumi perluasan perniagaan francais ke peringkat global, malah pemantapan pengukuhan ekonomi dalam negara.

“FIM2024 juga berjaya menarik minat usahawan tempatan dan asing untuk menceburi bidang perniagaan francais sebagai cabang pertumbuhan ekonomi.

“Ini dibuktikan menerusi sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 30 ribu pengunjung dengan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

KUSKOP berkata Malaysia turut menjadi tuan rumah bagi acara Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC) yang disertai oleh 22 negara asing serta Mesyuarat Tahunan Majlis Francais Dunia (WFC) pada 27-29 Mei, 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan