AM > BERITA

PULAU PINANG BANTU NASIB 23 KELUARGA LADANG SUNGAI KECHIL

15/06/2024 05:54 PM

NIBONG TEBAL, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya membantu dan menyelesaikan nasib 23 keluarga di Ladang Sungai Kechil di sini, yang sebelum ini menghadapi kemelut tanah serta penempatan mereka sejak hampir 10 tahun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah membelanjakan RM5.13 juta bagi tujuan pengambilan tanah berkeluasan 2.48 hektar itu di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.

Beliau berkata seterusnya, pihaknya mengambil inisiatif untuk membangunkan sebuah projek perumahan yang lengkap dan teratur bagi menempatkan keluarga yang terlibat.

"Sebelum ini, bagi tujuan pengambilan balik tanah itu jumlah (award) yang ditawarkan oleh kerajaan negeri kepada tuan tanah adalah sebanyak RM4.5 juta, bagaimanapun tuan tanah tidak berpuas hati dengan jumlah award daripada Pentadbir Tanah dan telah memfailkan kes ini di mahkamah.

“Keputusan mahkamah terhadap permohonan itu telah diperoleh pada 28 Julai 2022 dan kerajaan negeri diarahkan untuk membayar sebahagian daripada tuntutan yang dibuat berjumlah RM625,651.07 yang menjadikan nilai keseluruhan RM5.13 juta, telah disempurnakan pada 5 April lepas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 23 penduduk Ladang Sungai Kechil di sini hari ini.

Difahamkan, 23 penduduk yang terlibat merupakan keturunan bekas pekerja estet di Ladang Sungai Kechil dan pada 2016, mereka telah menerima notis pengosongan tanah dan pengambilan milikan kosong di atas Lot 10059, GRN 158668, Mukim 8, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam tempoh sebulan daripada pemilik berkaitan.

Susulan itu, tuan tanah juga telah mendapatkan Notis Bailif (Pemilikan Kosong) bertarikh 29 Sept 2020 dari Mahkamah Sesyen Butterworth untuk mengarahkan proses pengosongan oleh penduduk dan tiga kuil Hindu di atas tapak terbabit.

Mengulas lanjut, Chow berkata pihaknya berharap agar projek perumahan yang akan dibangunkan itu dapat mengoptimumkan penggunaan tanah dengan perumahan yang lebih teratur dan ergonomik.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyediakan kemudahan infrastruktur dan fasiliti yang lebih baik serta mematuhi syarat-syarat Kebenaran Merancang oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya berharap agar Ladang Sungai Kechil ini dapat dibangunkan dengan sebuah kawasan perumahan yang lebih selesa dan teratur sekali gus mencapai hasrat kerajaan negeri untuk memberikan rakyat rumah khususnya keluarga yang menetap di atas tanah ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo yang turut hadir berkata rumah yang akan dibina kelak diserahkan secara percuma kepada 23 keluarga terlibat, manakala baki akan dijual kepada pembeli yang berminat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan