AM > BERITA

TMIYC PASIR GUDANG DIJANGKA SIAP AKHIR TAHUN INI - EXCO

15/06/2024 05:59 PM

JOHOR BAHRU, 15 Jun (Bernama) -- Pusat aktiviti anak muda, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang di sini dijangka siap antara November atau Disember ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah.

Beliau berkata TMIYC Iskandar Puteri pula bakal siap pada Julai tahun depan sebelum pusat yang sama di daerah lain dibangunkan.

"Golongan belia di daerah lain turut meminta TMIYC dibina di kawasan mereka. Saya menjangkakan beberapa daerah lain akan mendapat manfaat tahun depan.

"Bagaimanapun, perkara berkenaan tertakluk dengan Belanjawan Johor nanti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ketiga Haos Ek? di sini hari ini. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dilaporkan berkata Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mahu TMIYC dibangunkan di semua 10 daerah di negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula 2022.  

TMIYC Johor Bahru merupakan pusat aktiviti belia pertama di Johor, diikuti TMIYC Muar yang kini dalam fasa akhir pembinaan.

Berhubung usaha kerajaan negeri dalam membantu usahawan di Johor, Mohd Hairi berkata pelbagai usaha dilakukan termasuk menerusi peruntukan Belanjawan 2024 iaitu sebanyak RM8.8 juta melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB).

Justeru, menurutnya kerajaan negeri akan terus memperkasakan usahawan tempatan agar dapat bersaing sama ada di peringkat domestik atau global.

Terdahulu, syarikat pengeluar minuman tempatan Haos Ek? melancarkan produk minuman baharu dikenali sebagai "O2 Alka" yang merupakan air minuman alkali beroksigen dengan teknologi nano.

Sehingga kini, syarikat yang dilancarkan pada 2021 itu mempunyai kira-kira 3,000 pengedar dan pusat jualan di seluruh Semenanjung, manakala 350 pengedar dan pusat jualan di Singapura. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan