AM > BERITA

SANUSI DIMINTA KERJASAMA DENGAN PERSEKUTUAN SELESAI ISU AIR DI KEDAH

15/06/2024 06:10 PM

BANDAR BAHARU, 15 Jun (Bernama) — Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah terlebih dahulu sebelum berhasrat membantu Pulau Pinang dalam isu tersebut.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata masalah air di Kedah perlu menjadi keutamaan kepada kerajaan Kedah, manakala isu sama di Pulau Pinang perlu diserahkan kepada pemimpin negeri berkenaan untuk menyelesaikannya.

“Jadi saya ingat begini untuk MB (Menteri Besar Kedah), (isu bekalan) air di Sungai Bakap itu biar Pulau Pinang urus, kita jaga Kedah kita dulu. Saya akan bekerjasama dengan MB, bantu MB. MB pun kena bantu kita.

“Mai (Mari) kita selesai masalah ayaq (air) Kedah dulu. Saya ingat yang itu lebih bagus. Yang sana (di Sungai Bakap) itu biar Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow buat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Kulim/Bandar Baharu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dalam ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menawarkan kepada Pulau Pinang membeli lebihan air dari Kedah selepas Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar disiapkan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata terdapat beberapa kawasan di Kedah termasuk Merbok, Sungai Petani dan Bandar Baharu turut menghadapi masalah air disebabkan tekanan rendah dan bekalan sering terputus.

Menurutnya sebanyak lima projek membina dan menaik taraf LRA di Kedah sedang dilaksanakan bagi  mengatasi masalah itu termasuk LRA Lubuk Buntar yang membabitkan peruntukan RM60 juta.

“LRA Lubuk Buntar itu dah lewat, jadi kita nak selesaikan. Projek itu bernilai RM60 juta, bila siap nanti akan membekalkan 32 juta liter air sehari untuk Kedah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan