AM > BERITA

JUALAN AGRO MADANI FAMA BANTU RAKYAT JIMAT HINGGA 30 PERATUS

16/06/2024 11:59 AM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Program Karnival Jualan Agro MADANI (JAM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang di Pasar Tani Kekal Chini, membantu rakyat memperoleh barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih, pada kadar 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berharap rakyat Pahang mendapat manfaat daripada program yang diadakan selama tiga hari bermula 12 hingga 15 Jun itu.

"Saya juga menggalakkan pengguna untuk terus mengikuti perkembangan dan aktiviti FAMA di laman Facebook FAMA Negeri Pahang dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Program yang diadakan dari 8 pagi hingga 11 malam itu membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih seperti sayur, buah, ayam, ikan, daging, gula, minyak, tepung serta beras selain aktiviti cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan seperti motosikal, televisyen dan bar emas.

Sebanyak 100 peserta mengambil bahagian yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 pengunjung, selain penjimatan pada harga jualan pelbagai acara menarik telah disediakan yang bertujuan mengeratkan perhubungan antara penduduk, keluarga dan juga pihak pentadbiran.

Menurut kenyataan itu, FAMA Negeri Pahang selaku penganjur terus membawa pelbagai usaha dalam membantu usahawan dan pengguna untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.  

“Antara program khas yang dibawa ialah Go Cashless yang menggalakkan pengguna berbelanja tanpa tunai yang lebih selamat, mudah dan cepat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan