AM > BERITA

PENYERTAAN M’SIA KE PERSIDANGAN BURUH ANTARABANGSA BUKTI KESUNGGUHAN MARTABAT PIAWAIAN PERBURUHAN NEGARA

16/06/2024 12:24 PM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Penyertaan Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 yang berlangsung di Geneva, Switzerland baru-baru ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan piawai perburuhan negara agar selari dengan piawai perburuhan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan Malaysia yang diwakili Menteri Sumber Manusia Steven Sim telah menyuarakan pelbagai perkara berkaitan sektor pekerjaan serta mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan rakan sejawatan dari negara ASEAN yang menyertai persidangan itu.

Menurut Kesuma, Sim juga telah mengadakan mesyuarat bersama Sekretariat Forum Ekonomi Dunia, perwakilan tertinggi tiga pihak antarabangsa iaitu International Trade Union Confederation (ITUC) dan International Organisation of Employers (IOE) serta perjumpaan dengan pakar Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam bidang platform ekonomi dan standard perburuhan.

“Persidangan peringkat antarabangsa ini membuka peluang kepada pemimpin serantau untuk duduk semeja dan berbincang tentang hal melangkaui sempadan negara masing-masing. 

“Sim telah mengambil kesempatan mengadakan pertemuan dengan semua rakan sejawat dari negara ASEAN dalam satu sesi bagi bertukar pendapat serta cadangan untuk mengadakan kerjasama lebih rapat dalam isu perburuhan dan aspek pembangunan kemahiran bersama negara anggota,” menurut Kesuma.

Kementerian itu memberitahu Sim turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Filipina dan Nepal yang bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan negara sumber serta mengulang tekad untuk memastikan kebajikan pekerja dari kedua-dua negara sumber itu terpelihara.

Pada Selasa lepas, media melaporkan Sim telah mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen ILO C155 sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan selaras keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei lepas.  

Kesuma turut memaklumkan sewaktu ucapan negara dalam sidang pleno pada persidangan itu, Sim telah menyinggung kontrak sosial dunia ketika ini yang hanya menguntungkan negara kuasa besar dunia dan merugikan negara kecil.

“Beliau juga telah berkongsi pengalaman dan usaha Malaysia dalam memartabatkan pekerja melalui rangka kerja MADANI,” menurut kenyataan itu.

Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 selama lima hari yang bertemakan ‘Ke Arah Memperbaharui Kontrak Sosial’ telah melabuhkan tirainya pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan