AM > BERITA

OPS KESAN 2.0: KPDN P. PINANG KELUAR 20 NOTIS BERTULIS

16/06/2024 05:28 PM

GEORGE TOWN, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengeluarkan 20 Notis Bertulis (NB) menerusi Ops Kesan 2.0 yang dijalankan sejak 8 Jun hingga semalam.

Pengarahnya S. Jegan berkata sebanyak 42 premis telah diperiksa dalam operasi yang dilaksanakan bagi mengenal pasti berlakunya kenaikan harga barangan atau perkhidmatan berikutan kenaikan harga diesel.

“Maklumat yang telah direkod akan dianalisis sama ada wujud aktiviti mencatut (mengambil keuntungan yang tidak munasabah) atau tidak. Sekiranya berlaku tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ops Kesan 2.0 dilaksanakan secara berfasa bagi memantau kesan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan fokus bagi membendung risiko pencatutan dengan fasa pertama dilaksanakan mulai 20 Mei hingga 31 Mei manakala fasa kedua, bermula dari tarikh pelaksanaan fleet card Sistem MySubsidi Diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Jegan berkata pihaknya juga bersedia untuk mengambil tindakan terhadap aduan kenaikan harga pada kadar tidak munasabah terutama kepada mereka yang telah mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi diesel dan juga kepada peniaga tidak layak menerima subsidi diesel sebelum pelaksanaannya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pemeriksaan bekalan asas di Pasar Pagi Ban Busuk, Penanti Bukit Mertajam dan premis sekitarnya didapati mencukupi bagi menampung permintaan pengguna setempat dan tiada masalah terputus bekalan sempena sambutan Aidiladha esok.

“Hasil pemeriksaan terhadap 31 premis mendapati bekalan asas, minyak masak dan telur ayam ada di pasaran dan dijual tidak melebihi harga kawalan. Tidak berlaku kenaikan harga barangan semasa pemeriksaan dijalankan selain tanda harga dipamerkan dengan jelas serta alat timbang dan sukat masih dalam tempoh sah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan