AM > BERITA

AIDILADHA: HAYATI NILAI PENGORBANAN, KETAATAN DAN KEBERSAMAAN DALAM BERIBADAH - AHMAD ZAHID

16/06/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam esok bukan sekadar perayaan sebaliknya hari untuk menghayati nilai-nilai pengorbanan, ketaatan, kebersamaan dan keikhlasan dalam beribadah.

Beliau turut menyeru agar semua pihak berazam memperkuat hubungan silaturahim dengan keluarga, sahabat dan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, kita sekali lagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambut Aidiladha, hari yang penuh bermakna dan berkat dalam kalendar Islam,” katanya.

Mengimbau kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS, Ahmad Zahid berkata kita diingatkan tentang betapa besarnya pengorbanan yang perlu dilakukan demi memenuhi perintah Allah SWT.

“Kisah ini menjadi satu manifestasi ketakwaan seisi keluarga yang mempamerkan ketabahan seorang ayah, kepatuhan seorang anak dan redanya seorang isteri serta ibu dalam mentaati perintah Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Ahmad Zahid berkata melalui ibadah korban, kita bukan sahaja menjalankan perintah agama tetapi juga membantu mereka yang memerlukan dan menunjukkan keprihatinan serta kasih sayang kepada sesama insan.

Beliau turut mendoakan agar segala ibadah dan amalan jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci diterima oleh Allah SWT serta selamat kembali ke tanah air dengan membawa haji mabrur.

“Bagi yang belum berkesempatan, semoga Allah SWT mempermudah jalan untuk menunaikan rukun Islam kelima ini pada masa akan datang. Jadikan Aidiladha yang diraikan sebagai masa untuk memperbaharui niat dan keikhlasan dalam setiap amalan.

“Besar pengharapan agar segala pengorbanan dan usaha kita mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT serta memperkuat iman dan takwa kita kepada-Nya,” kata beliau yang turut mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata Aidiladha adalah saat terbaik untuk muhasabah diri dan memikirkan pengorbanan besar yang berlaku di sekitar kita.

“Para ulil amri (pemimpin) yang berusaha keras memberikan yang terbaik untuk memajukan daulah (negara), perjuangan umat Islam mempertahankan akidah pada zaman yang penuh rencam sepertimana pada hari ini di samping menyemai kepedulian kita terhadap apa yang sedang berlaku di bumi Gaza.

“Aidiladha mengingatkan kita kepada pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS dengan menuruti perintah Allah SWT. Erti perjuangan serta pengorbanan ini amat besar dengan harapan dan keyakinan bahawa lebih besar ganjarannya di akhirat kelak,” kata beliau.

Fadillah turut meminta umat Islam agar menjadikan Aidiladha kali ini sebagai manifestasi pengorbanan kepada masyarakat antaranya dengan memberi makan dan mengagihkan daging korban kepada golongan yang berhak khususnya fakir miskin.

“Mudah-mudahan ibadah haji, korban dan segala amal ibadah yang kita kerjakan akan diterima oleh Allah SWT. Saya juga yakin dan percaya sekecil-kecil pengorbanan kita pasti dinilai oleh-NYA. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh muslimin dan muslimat,” katanya.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha esok.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan