AM > BERITA

MALAYSIA, PAKISTAN SEPAKAT TERUS ZAHIR SOLIDARITI KEPADA PENDUDUK GAZA - PM

17/06/2024 11:54 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Pakistan sepakat untuk terus menyatakan solidariti kepada penduduk Gaza yang terkesan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu dinyatakan semasa beliau menerima panggilan telefon daripada rakat sejawatnya dari Pakistan iaitu Shehbaz Sharif hari ini.

“Saya turut memuji Perdana Menteri Shehbaz atas keberanian beliau memposisikan kedudukan Pakistan terkait kemelut di Gaza.

“Seharusnya pemimpin Islam negara lain perlu terus mengukuhkan sokongan dalam meningkatkan bantuan kemanusiaan selain menggandakan usaha menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar memaklumkan mereka juga merancang untuk bertemu di ibu negara Pakistan iaitu Islamabad dalam masa terdekat agar hubungan kedua-dua negara dapat terus diperkukuh.

Menerusi panggilan telefon itu, Anwar dan Shehbaz turut berbalas ucapan selamat menyambut Aidiladha selain mendoakan kesejahteraan bersama dan keluarga serta rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata beliau turut menerima sepucuk surat daripada Perdana Menteri India Narendra Modi yang mengutuskan ucapan Aidiladha kepadanya dan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata mereka juga senada bahawa keamanan dunia bergantung kepada nilai kebersamaan serta penerapan prinsip kemanusiaan, ihsan dan pengorbanan dalam membina sebuah negara maju.

“Saya juga bersetuju dengan PM Modi yang menyentuh aspek budaya dan warisan turun menurun dalam menghormati satu sama lain perlu terus dijulang dan diraikan di seluruh pelusuk dunia ketika meraikan hari mulia ini.

“Mendoakan agar PM Modi terus diberikan kesihatan yang baik selain hubungan Malaysia dan India terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan