AM > BERITA

WISMA PUTRA KOMITED KESAN RAKYAT MALAYSIA "HILANG" DI LUAR NEGARA

18/06/2024 04:17 PM

SEREMBAN, 18 Jun (Bernama) -- Wisma Putra sentiasa komited membantu menjejaki rakyat Malaysia yang dilaporkan "hilang" di luar negara untuk dibawa pulang ke tanah air menerusi pelbagai kaedah dan saluran, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata bagaimanapun, agak sukar bagi pihaknya mengesan individu berkenaan sekiranya mereka sendiri membuat pilihan untuk tidak mahu dikesan atau sengaja "menghilangkan diri".

Mohamad berkata selain menjalinkan hubungan diplomasi antara negara, menjadi tugas Wisma Putra untuk menguruskan dan mengambil tahu hal ehwal rakyat Malaysia di luar negara.

“Masalahnya kadang-kadang, mereka tidak mahu diketahui berada di negara terbabit, jadi bagaimana kita nak buat kerja, sekurang-kurangnya keluarga tahu mereka ada di mana dan boleh menghubungi kami (untuk bawa pulang), jadi tak timbul soal Wisma Putra tak ambil tahu.

“Kita ada banyak saluran dan hubungan, kita boleh guna macam-macam sumber termasuk kedutaan negara terlibat di sini, polis dan Interpol, macam-macam kita boleh buat tapi kalau dah tak tahu, mustahil untuk kita kesan dan beri pertolongan apa jua yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Ibadah Korban 1445H/2024 Kementerian Luar di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong, Rantau di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan seorang ibu berusia 77 tahun dari Kulai, Johor memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk mengesan anak sulungnya selepas dilaporkan hilang sejak 36 tahun lepas tanpa khabar berita selepas menamatkan pengajian di University of Southwestern Louisiana, Amerika Syarikat.

Mohamad turut menasihatkan supaya rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mendaftar dan memaklumkan kehadiran mereka kepada kedutaan atau pesuruhjaya tinggi di negara berkenaan.

"Mereka mesti berhubung, mendaftar, menghubungi kedutaan supaya kita tahu di negara itu ada sejumlah rakyat Malaysia yang belajar dan bekerja serta bermastautin, tinggal atau menjadi penduduk tetap," katanya.

Mengenai program hari ini, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau itu berkata ia merupakan aktiviti turun padang pegawai kanan kementerian untuk menyantuni masyarakat, selain mengenal pasti permasalahan atau kemudahan kampung yang perlu dinaik taraf.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan