AM > BERITA

MALAYSIA DAPATKAN INPUT KES SINDROM KEJUTAN TOKSIK STREPTOCOCCAL DARIPADA WHO

20/06/2024 01:35 PM

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Malaysia akan mendapatkan maklumat dan input berkaitan kes Sindrom Kejutan Toksik Streptococcal (STSS) yang melanda Jepun daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata segala input diperoleh itu adalah bagi memastikan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan langkah kawalan pencegahan di negara ini. 

“Kita belum dapat apa-apa maklumat atau perkembangan (kes itu), mungkin juga kita memerlukan input daripada WHO dan ia sangat mustahak.

“… apabila kita ada dapat ‘heads up’ ataupun perkembangan (kes itu) dan kita akan seterusnya ambil langkah kawalan. Setakat ini, (kes itu) ia belum sampai lagi kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan atau ‘infection division’ (Bahagian Kawalan Penyakit) kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan myBRP@CKAPS di sini hari ini. 

Jepun dilaporkan mencatatkan kes STSS melebihi 1,000 pada 2024, lapor Xinhua yang memetik Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID).

STSS juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk, adalah penyakit yang bermula secara tiba-tiba yang disebabkan oleh Streptokokus Kumpulan A.

Gejala awal biasanya termasuk sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan masalah gastrousus lain, serta gejala septik seperti tekanan darah rendah.

Ditanya mengenai Draf Rang Undang-undang pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50), beliau berharap pindaan akta berkenaan dapat dibentangkan di Parlimen pada hujung bulan ini.

“… bentang dahulu dan bacaan pertama paling tidak minggu akhir kita bahas dan untuk meluluskan pindaan RUU ini,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly berkata draf RUU pindaan Akta 50 bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel (parallel pathway), telah siap dan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan.

Mengenai myBRP@CKAPS, Dzulkefly berkata ia merupakan sebuah sistem aplikasi dalam talian untuk permohonan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Beliau berkata sistem ini akan menggantikan proses kerja manual dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan, seterusnya mempercepat proses pengeluaran lesen.

“Mereka bertekad untuk menurunkan waktu atau mengurus kepada paling lama tiga bulan,” katanya menambah proses mengurus secara manual dahulu mengambil masa lapan bulan.

Sistem baharu itu boleh mula diakses pada 1 Julai ini menerusi laman sesawang www.mybrp.moh.gov.my dan dibuka kepada pemohon daripada fasiliti kesihatan swasta yang memegang lesen premis yang akan luput antara 1 Jan 2025 hingga 1 Mac 2025, iaitu enam bulan hingga sembilan bulan sebelum tarikh luput lesen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan