AM > BERITA

TEMANKAN KE TANAH SUCI JADI PERMINTAAN TERAKHIR SEORANG AYAH

21/06/2024 03:51 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 21 Jun (Bernama) -- Seorang jemaah Malaysia di sini tidak menyangka ajakan bersungguh-sungguh mahu beliau ikut bersama menunaikan haji menjadi permintaan terakhir bapanya. 

Fazrihin Bawi, 27, dari Kampung Pusa, Betong, Sarawak berkata sebaik menerima tawaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH), bapanya Bawi Solek, 79, beria-ia meminta menemankan ke Tanah Suci bersama ibu Seput Ujang, 71, namun beliau menolak.

Allahyarham Bawi meninggal dunia selepas rebah ketika dalam perjalanan untuk melakukan ibadah melontar di Jamratul Aqaba.

“Ayah paksa saya banyak kali untuk teman dia, tetapi saya menolaknya kerana sepatutnya kakak saya yang pergi bersama mereka. Hal itu menyebabkan dia marah dan walaupun saya telah memberikan penjelasan bahawa saya tidak boleh pergi disebabkan kerja, namun arwah enggan menerima.

“Bagaimanapun seminggu sebelum ayah menunaikan haji, saya terima panggilan daripada TH yang memaklumkan bahawa mereka memerlukan peneman lelaki untuk kedua orang tua saya menyebabkan saya akur. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan untuk pergi haji termasuk berkaitan visa, pasport dan pemeriksaan kesihatan,” kata anggota tentera itu kepada petugas media di sini semalam.

Fazrihin berkata bapanya orang yang paling gembira sebaik mengetahui bahawa beliau yang juga anak bongsu daripada lapan beradik akan turut sama mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, menceritakan kembali detik terakhir bersama arwah, beliau berkata selepas solat Asar Ahad lepas (10 Zulhijah), dia bertanya bapa sama ada cukup sihat untuk berjalan ke kompleks Jamrah yang terletak kira-kira 3.5 kilometer dari khemah di Mina bagi melaksanakan ibadah melontar.

“Ayah menyatakan kesanggupan dan kami pergi bersama seorang lagi sepupu dan rakan ayah. Semasa di terowong pertama, ayah masih boleh berjalan lagi dengan beberapa kali berhenti untuk melepaskan penat sambil minum air. Namun ketika sampai terowong kedua saya lihat ayah mulai dalam keadaan pelik.

“Saya menyuruhnya berhenti seketika untuk memberinya minum air kerana keadaan dalam terowong ketika itu sangat panas, namun dia enggan kerana katanya belum dahaga. Tidak lama selepas kami meneruskan perjalanan ayah mulai terhuyung-hayang dan menggigil sebelum diserang sesak nafas,” katanya.

Melihat keadaan itu, dia cuba mencari kerusi roda namun gagal ditemukan, dan melihat keadaan bapanya yang semakin lemah, tanpa berfikir panjang dia segera menggendong orang tuanya itu dan berlari mencari bantuan perubatan.

Fazrihin memberitahu beliau terpaksa beberapa kali berhenti sebelum berlari semula dengan tangan ayahnya berpaut pada leher, namun pautan itu kian longlai sebelum warga emas itu rebah sambil memeluknya.

“Selepas rebah, saya pangku ayah di riba saya dan nampak dia mengalami sesak nafas, tidak lama kemudian seorang anggota polis Arab Saudi datang memberi bantuan diikuti seorang petugas perubatan Indonesia yang menawarkan diri untuk mencari kerusi roda untuk menolak ayah ke khemah perubatan berhampiran.

“Bagaimanapun tidak lama selepas itu saya dapati nadi ayah telah berhenti, menyebabkan sekali lagi saya mengangkat ayah dan berlari ke khemah perubatan Indonesia tidak jauh dari tempat berkenaan. Mereka membantu melakukan CPR dan Alhamdulillah ayah kembali sedar, namun lemah,” katanya sambil menambah bapanya dibawa ke sebuah hospital Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

 Keesokan paginya beliau dimaklumkan oleh Pengurus Maktab 79 Al’Amin Jaminon bahawa bapanya telah menghembuskan nafas terakhir namun menyangkakan berita itu gurauan. 

Sebaik tiba di hospital untuk urusan pengecaman jenazah, barulah beliau menyedari hakikat sebenar bahawa bapanya benar-benar telah tiada, namun menurut Fazrihin, hatinya yang sedih terubat apabila melihat raut wajah arwah tersenyum.

“Saya reda sebab ayah pernah maklumkan bahawa dia ingin meninggal di Makkah dan untuk kali terakhir saya bantu uruskan jenazahnya daripada proses mandi, kapan dengan kain ihram, sembahyang dan sambutnya di liang lahad. Saya doakan semoga roh ayah dilepaskan dari azab kubur dan di syurga tempatnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan