AM > BERITA

PEMBERSIHAN PANTAI SUNGAI RENGIT, TELUK RAMUNIA BERMULA HARI INI

21/06/2024 02:24 PM

JOHOR BAHRU, 21 Jun (Bernama) -- Kerja-kerja pembersihan di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia susulan tumpahan bahan api marin (MFO) di perairan Pengerang, bermula secara rasmi 9.30 pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata syarikat insurans  kapal yang terbabit dalam pelanggaran dan mengakibatkan tumpahan itu, telah melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembersihan tersebut dan akan menanggung kos terlibat. 

"Kejadian pelanggaran kapal pada Jumaat minggu lepas (14 Jun) di sebuah pelabuhan dalam wilayah Singapura telah menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan.

"Dengan keadaan ombak yang bergelora selama beberapa hari, tumpahan minyak tersebut telah hanyut ke perairan negara kita iaitu di Pengerang dan pada pagi Rabu lepas, kesan tumpahan minyak tersebut telah ditemukan di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia dan telah mencemarkan kira-kira satu kilometer garis pantai di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Jabatan Laut dan agensi berkaitan akan memantau kerja-kerja tersebut bagi memastikan kawasan pantai dan permukaan laut yang tercemar dibersihkan dan keadaan kembali seperti biasa.

Ling berkata JAS Johor juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Singapura untuk memastikan insiden pencemaran minyak itu dapat diselesaikan dengan berkesan.

Semalam, beliau dilaporkan berkata JAS Johor giat menjalankan pemantauan susulan kes pelanggaran antara kapal Vox Maxima dari Belanda dengan kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura di Terminal Pasir Panjang, Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan