AM > BERITA

KPWKM MASIH DALAM PROSES SIAPKAN RUU, DASAR WARGA EMAS - NANCY

24/06/2024 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) masih dalam proses menyiapkan Rang Undang-Undang Warga Emas bertujuan melindungi dan menjaga kepentingan golongan itu,  persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pada masa sama kementerian itu juga sedang merangka dan menyiapkan Dasar Warga Emas.

“Soalan perundangan itu (rang undang-undang), kita masih dalam proses (menyiapkan) dan kita juga sedang menyiapkan Dasar Warga Emas,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung status terkini dan langkah kerajaan untuk memperkenalkan rang undang-undang tersebut.

Nancy berkata sehingga Mac tahun ini, sebanyak 1,066 warga emas ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) dan 43 Rumah Ehsan (RE) kendalian JKM di seluruh negara.

"Jumlah itu melibatkan individu ditempatkan di 10 RSK dan dua RE, manakala terdapat lebih 8,500 warga emas dalam jagaan di 409 Pusat Jagaan Warga Emas kendalian swasta yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, mengenai statistik taman asuhan kanak-kanak (taska) yang dikesan tidak berdaftar dengan JKM, Nancy berkata sebanyak 506 taska tidak berdaftar berjaya dikesan sehingga 31 Mei lepas.

Beliau berkata kementeriannya menggunakan pelbagai pendekatan termasuk mengeluarkan notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 iaitu lak, kompaun serta pendakwaan bagi taska tidak berdaftar.

“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan taska telah dikenakan tindakan lak atau disita, 17 dikompaun dan dua kes telah didakwa di mahkamah antara 2020 hingga Mac 2024,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan