AM > BERITA

BEBERAPA STRATEGI DILAKSANAKAN BAGI JAYAKAN KEMPEN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 - KHAIRUL FIRDAUS

24/06/2024 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Beberapa strategi akan dan telah dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri MOTAC Khairul Firdaus Akbar Khan berkata ini termasuklah mengadakan libat urus dan kerjasama dengan pelbagai kementerian berkepentingan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam industri pelancongan dan kebudayaan.

“Kita juga terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan kementerian, kerajaan negeri dan para penggiat industri melalui enam kluster utama iaitu kluster pengangkutan darat, kluster pengangkutan udara, kluster persatuan pelancongan, kluster pelancongan minat khas, kluster penginapan dan kluster budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang ingin tahu mengenai strategi dan persiapan kementerian untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta bentuk halangan dan masalah yang dihadapi.

Khairul Firdaus berkata melalui strategi dan usaha yang dilaksanakan MOTAC, Malaysia merekodkan ketibaan sebanyak 7.56 juta pelancong asing dari Januari hingga April tahun ini berbanding 5.93 juta dalam tempoh sama, tahun lepas.

“Ini jelas strategi yang kita laksanakan sedikit sebanyak memberi satu kesan yang cukup baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan