AM > BERITA

RM15 JUTA BANGUNKAN INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN PELANCONGAN WARISAN IPOH

24/06/2024 03:19 PM

IPOH, 24 Jun (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan RM15 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan pelancongan warisan di Ipoh. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata projek naik taraf itu melibatkan empat lokasi iaitu di Padang Ipoh, Kinta Riverwalk, Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama di sini. 

Beliau berkata empat kawasan terbabit meliputi kawasan sekitar Pekan Lama Ipoh, yang berpotensi menjadi kawasan tumpuan pelancong kerana kedudukannya yang hampir dengan perkhidmatan keretapi.

"Pakej pertama melibatkan pembangunan di Ipoh Padang dan Kinta Riverwalk dan ia telah berjaya disiapkan pada 8 Mac 2022 lepas serta telah beroperasi, dikunjungi ramai pelawat.

“Pakej kedua pula bernilai RM11 juta yang melibatkan kerja-kerja naik taraf Dewan Bandaran dan Pejabat Pos Lama siap 20 Mei, dan hari ini secara simbolik NCIA serahkan semula kepada MBI," katanya dalam sidang media pada majlis penyerahan kunci Bangunan Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama, dekat sini hari ini.

Sandrea berkata pakej kedua projek Pelancongan Warisan Ipoh (IHT) itu melibatkan kerja-kerja pemuliharaan, baik pulih dan naik taraf bangunan Dewan Bandaran Ipoh sebagai pusat persembahan seni, manakala naik taraf di bangunan Pejabat Pos Lama ditambah baik dengan galeri karya-karya seni dan digital.

"Kerajaan negeri mahu mempergiatkan lagi industri muzik di Ipoh selepas ia diiktiraf dalam senarai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik pada 2023.

"Saya difahamkan MBI akan menambah baik persiapan terakhir di Dewan Bandaran Ipoh dan kita jangka pada hujung tahun ini dewan ini siap sedia untuk pelbagai program bersesuaian," katanya. 

Beliau berkata naik taraf dewan yang berkeluasan 751.5 meter persegi itu akan membolehkan ia memuatkan sehingga 500 orang dalam satu-satu masa, dan ia adalah sebahagian usaha meningkatkan sektor pelancongan selain berkait rapat dengan kebudayaan serta menggiatkan lagi industri muzik di Ipoh. 

Terdahulu Ketua Wilayah NCIA Perak dan Pulau Pinang, Fauzan Ismail menyerahkan kunci Dewan Bandaran Ipoh kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Simbolik penyerahan kunci Pejabat Pos Lama diserahkan oleh Rumaizi kepada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara yang diwakili Ketua Pengarahnya, Amerrudin Ahmad.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan