AM > BERITA

SPR KELUAR 128 KERTAS UNDI POS PRK SG BAKAP

24/06/2024 05:25 PM

NIBONG TEBAL, 24 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 128 kertas undi pos kepada individu yang berhak mengundi secara pos pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata sebanyak 120 kertas undi pos Kategori 1A dikeluarkan untuk petugas pilihan raya dan anggota polis manakala lima undi pos Kategori 1B bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan tiga undi pos Kategori 1C untuk agensi dan organisasi.

"Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos. Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 2 Julai nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon bertanding.

Ikmalrudin turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, 6 Julai ini.

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan 6 Julai ini bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan