AM > BERITA

KAJIAN EMPIRIKAL ASING PERANAN AG DAN PENDAKWA RAYA DITERUSKAN DI UK - AZALINA

24/06/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Fasa pertama kajian empirikal pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya, akan berakhir selepas kajian Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif di United Kingdom (UK) selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata UK merupakan negara terakhir untuk Malaysia menjalankan kajian empirikal berdasarkan keterangan evidence-based research, selepas Kanada dan Australia.

Beliau berkata ketika ini, pasukan khas itu telah selesai membuat kajian empirikal di Kanada dan Australia masing-masing pada 5 hingga 10 Mei dan 2 hingga 6 Jun.

“Kerajaan sedang membuat persiapan bagi mendapatkan tarikh lawatan dengan pihak UK dan lawatan itu akan dimaklumkan bila dimuktamadkan,” katanya ketika memberi penerangan pada sesi Kamar Khas di Parlimen, hari ini.

Pada 9 Okt tahun lepas, Azalina berkata agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilakukan secara berfasa, selepas kerajaan mengambil kira kerumitan serta cabaran pelaksanaannya.

Menerusi fasa pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif menjalankan kajian ke atas beberapa negara bagi meneliti dan merangka model yang paling sesuai, dalam konteks Malaysia.

Fasa kedua akan melibatkan Pasukan Petugas Khas Teknikal, yang akan meneliti secara komprehensif implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan, sebelum menyediakan Laporan Interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Fasa ketiga pula membabitkan sesi libat urus bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta pihak berkepentingan lain termasuk agensi penguatkuasaan.

Selain itu, Azalina berkata kajian saintifik berdasarkan perspektif sains kemasyarakatan pandangan umum ke atas pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, juga sedang dijalankan bagi tempoh enam bulan.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan bekerjasama dengan Universiti Malaya untuk melaksanakan kajian saintifik melibatkan pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, agensi, penguat kuasa, pakar berkaitan dan kerajaan negeri.

Azalina berkata kajian itu juga, akan merangkumi pengumpulan dan analisis data serta maklumat daripada pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah penyelidikan, seperti perbincangan kumpulan sasar.

“Apa yang penting di sini, perkembangan kajian empirikal dan kajian saintifik setakat ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI benar-benar mengambil kira hasrat rakyat Malaysia secara serius.

“Kajian empirikal dan saintifik yang telah dilaksanakan secara berfasa ini, bukti kesungguhan kerajaan ke arah mengenal pasti model terbaik bagi konteks Malaysia yang akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan lagi keyakinan, kepercayaan dan sokongan rakyat kepada kerajaan, dalam merealisasikan reformasi institusi perundangan di negara kita,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan