AM > BERITA

PROGRAM KETERJAMINAN MAKANAN PRUCARE MANFAATKAN PETANI DI PEDALAMAN KOTA BELUD

25/06/2024 08:04 PM

KOTA BELUD, 25 Jun (Bernama) -- Kohort ketiga Program Keterjaminan Makanan PRUCare menerusi tajaan bernilai lebih RM500,000 akan memanfaatkan 100 petani di kawasan pedalaman di sini.

Program dilaksanakan oleh Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Prudence Foundation dan Hopes Malaysia itu bermatlamat memperkasakan komuniti luar bandar kurang berkemampuan dengan teknik dan peralatan pertanian supaya mereka dapat menjana sumber pendapatan yang mampan dan memastikan keterjaminan sumber makanan untuk keluarga masing-masing.

PAMB dalam kenyataan memaklumkan menerusi program itu petani akan diberikan latihan dan peralatan untuk memulakan penanaman sayur-sayuran serta penternakan ikan bagi meningkatkan sumber makanan dan pada masa sama lebihan hasil pertanian itu boleh dijual bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Menurut kenyataan itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia PAMB Sally Low ketika berucap pada majlis pelancaran kohort ketiga berkenaan berkata kelestarian merupakan teras perniagaan PAMB dan syarikat berkenaan percaya program terbabit akan membantu mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“Ramai petani tempatan berdepan cabaran seperti kekurangan sumber, kekangan menjual hasil tuaian dan kesan perubahan iklim. Program ini bertujuan menangani isu-isu terbabit dan membantu keluarga di Kota Belud mencapai keterjaminan sumber makanan dan pendapatan yang mampan,” katanya. 

Low berkata matlamat pihaknya ialah untuk menambah nilai kepada komuniti yang lebih luas demi masa depan yang lebih mampan, bertanggungjawab dan inklusif.

“Ini memberi mereka peluang untuk keluar dari perangkap kemiskinan dan membentuk masa hadapan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak,” katanya.

Program berkenaan turut menandakan berakhirnya kohort kedua manakala kohort pertama dilancarkan pada 2021 dan sejak itu program terbabit telah membantu 703 penerima daripada 98 keluarga yang berjaya meningkatkan purata pendapatan peserta hingga 68 peratus.

Menurut kenyataan itu sebanyak 54 sukarelawan perancang kewangan Prudential telah menyumbangkan hampir 270 jam bagi membantu petani terlibat dalam penyediaan tanah dan kolam ikan.

Nusia Sidi @ Gina, 48, dari Kampung Terintidon berkata keadaan kewangan keluarganya bertambah buruk selepas pandemik COVID-19 apabila anak-anaknya kembali ke kampung dari bandar.

Nusia berkata pendapatan isi rumah keluarganya sebanyak RM550 sebulan tidak mencukupi untuk menyara seisi keluarga namun sejak menyertai program itu dia berjaya menikmati jaminan makanan secara konsisten dan hasil tuaian bulanan yang banyak.

“Saya mempunyai keluarga besar untuk disara dan harga makanan semakin mahal di Kota Belud. Saya sangat bersyukur dengan program ini kerana berpeluang mempelajari sesuatu yang baharu walaupun pada usia sebegini,” katanya sambil menambah jualan lebihan ikan dan hasil pertanian telah meningkatkan pendapatan keluarganya sebanyak RM350.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan