AM > BERITA

PELBAGAI USAHA PASTIKAN PESAWAH DI KELANTAN TANAM PADI IKUT JADUAL - MOHAMAD

04/07/2024 09:51 PM

NIBONG TEBAL, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan melakukan pelbagai usaha bagi memastikan pesawah di Kelantan yang mengalami masalah kemarau teruk sebelum ini dapat menanam padi mengikut jadual pada musim yang bermula Julai ini, dalam usaha memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara usaha yang dijalankan ialah Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama tiga kali dan kelulusan segera RM20 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membeli pam air.

Meskipun Kelantan ditadbir pembangkang, beliau berkata usaha itu adalah bagi memastikan sekuriti makanan untuk negara mencukupi, bekalan terjamin dan harga beras tidak naik.

"Operasi Pembenihan Awan kita lakukan tiga kali di Kelantan dan saya sendiri turut ikut sama dalam penerbangan tersebut, masa kali pertama hanya turun sedikit hujan, kali kedua pula tak turun langsung manakala kali ketiga hujan turun sehari selepas itu.

"Kita tengok sekarang ini hujan sudah mula turun di sana (Kelantan) dan kami ambil laporan (hujan turun) setiap hari, pesawah tak kan alami masalah (bekalan air) malah mereka juga belum tertinggal lagi dalam musim ini untuk menanam padi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jeti nelayan Jalan Teluk Ipil, di sini hari ini.

OPA di Kelantan memberi tumpuan kepada tujuh lokaliti strategik bagi mengatasi masalah penyusutan paras air Sungai Kelantan dan kemarau berpanjangan yang merundung para pesawah di sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai.

Mohamad dilaporkan berkata pelaksanaan OPA dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan penanaman padi di sawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Sementara itu, Mohamad berkata projek naik taraf jeti itu siap pada Mei lepas dengan peruntukan RM150,000 dan akan memberi manfaat kepada nelayan darat dan sungai di kawasan tersebut.

"Jeti nelayan berbentuk ‘T’ dengan keluasan 20 meter kali 2 meter ini telah dinaik taraf daripada jeti kayu ke sepenuhnya jeti konkrit oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)," katanya.

Turut hadir Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi H'ng Mooi Lye yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan