AM > BERITA

RUU PENAGIH DADAH DIBAWA KE JAWATANKUASA PILIHAN KHAS

09/07/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibentang untuk bacaan kali kedua, ditangguhkan dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan untuk pandangan lanjut.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penangguhan rang undang-undang itu yang melalui proses perbahasan sejak minggu lepas dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat setelah meneliti pandangan Ahli Parlimen, selain memastikan rang undang-undang itu menjadi akta terbaik apabila diluluskan.

“Di situ nanti, kita akan jemput semua pihak berkepentingan seperti Ahli Parlimen, pakar perundangan, NGO (badan bukan kerajaan), semualah, untuk kita selesaikan lagi, perhalusi lagi, kemudian baru kita buat keputusan di peringkat Majlis.

“Kalau ikutkan hasrat hati, saya impikan akhir penggulungan ini akan ada pengundian...tapi saya fikir balik, walau sekemas mana kita rasa kerja kita, tetapi ahli Yang Berhormat memberikan teguran, pandangan, dan syor, saya fikir harus juga kementerian berikan kepentingan (weightage)," katanya ketika mengusulkan penangguhan rang undang-undang itu, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin berkata menerusi rang undang-undang itu, kerajaan berharap lebih ramai mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan.

“Saya ke PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) Bukit Mertajam, saya terkejut kerana dalam masa rawatan beberapa bulan, ada yang dah hafal beberapa surah, surah Al-Waqiah, surah As-Sajdah dan mereka ini sukarela datang ke tempat kita untuk rawatan.

“Meminda akta ini ertinya kita permudahkan urusan dia, kita tengok dia sebagai klien untuk berubah dan kita ada modul, pegawai, premis yang sangat bersih, ada sistem yang mematuhi standard antarabangsa dan kadar kejayaan tinggi,” katanya.

Pada 2 Julai lepas, Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat yang antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).

Menurut naskhah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain mencadangkan ruang lingkup Akta Penagih Dadah diperluas supaya merangkumi penagih bahan dan penyalah guna dadah atau bahan, serta skop rawatan dan pemulihan mereka juga diperluas.

Pada sesi perbahasan Khamis lepas, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan supaya rang undang-undang itu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penelitian lanjut, antaranya bagi membolehkan lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk pusat rawatan swasta, dilakukan untuk mengenal pasti rawatan terbaik bagi penagih dadah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan